
PARIS: Menteri Dalam Negeri Perancis, Gérald Darmanin telah mengeluarkan amaran bahawa warga asing di negara itu yang melanggar peraturan akan ‘secara sistematik’ dihantar pulang, manakala Presiden Emmanuel Macron menyeru perpaduan.
Tindakan itu dibuat ketika kerajaan Eropah bimbang peningkatan antisemitisme yang dicetuskan oleh perang Israel-Hamas.
Walaupun larangan itu dibuat, sekumpulan besar penunjuk perasaan pro-Palestin tetap tegar mengadakan bantahan di Paris pada Khamis (12 Okt).
Sehubungan itu polis Perancis telah melakukan 10 tangkapan dan menggunakan meriam air untuk menyuraikan perhimpunan 3,000 orang di Place de la République, lokasi di mana penunjuk perasaan melaungkan “Israel pembunuh” dan “Palestin akan menang” serta mengibarkan bendera Palestin.
Darmanin, yang mengarahkan larangan itu, berkata mereka yang mengingkarinya harus ditangkap ‘kerana mereka terdedah untuk mengganggu ketenteraman awam’.
Namun, kumpulan Pro-Palestin berkata ia berisiko mengancam kebebasan bersuara dan berjanji untuk terus berdemonstrasi menyokong rakyat Palestin.
Charlotte Vautier, yang menghadiri perhimpunan itu, memberitahu agensi berita Reuters: “Kami tinggal di negara undang-undang sivil, negara di mana kami mempunyai hak untuk mengambil pendirian dan berdemonstrasi.
“(Adalah tidak adil) untuk melarang untuk satu pihak dan memberi kuasa untuk yang lain.”
Sementara itu, polis di ibu negara Jerman, Berlin juga telah melarang demonstrasi pro-Palestin yang dirancang, memetik risiko kenyataan antisemitik dan mengagungkan keganasan.
Polis berkata, kira-kira 60 penunjuk perasaan mematuhi arahan untuk meninggalkan Potsdamer Platz pada Khamis. – HARAKAHDAILY 13/10/2023




















