
KUALA TERENGGANU: Paling kurang dalam diri setiap umat Islam perlu ada perasaan hendak membantu rakyat Palestin bagi membebaskan Masjid Al-Aqsa.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, sekiranya tiada azam sedemikian kena tanya balik iman dalam diri kita.
Katanya dalam konteks hari ini umat Islam mesti menghayati jihad di jalan Allah perjuangan untuk membebaskan Masjid Al-Aqsa.
“Kita mesti menunjukkan solidariti ke bersamaan dengan saudara-saudara kita di sana. Mudah-mudahan Allah SWT memberikan kemenangan kepada saudara-saudara kita di sana insya-Allah,” katanya.
“Kalau tidak sekurang-kurangnya kita mampu berdoa, solat hajat dan jihad dengan harta benda walaupun sikit.
“Rasulullah SAW berperang sehingga luka tubuh badan, patah giginya, kalau dalam diri umat Islam tidak ada perasaan berperang pada jalan Allah untuk membela nasib orang yang dizalimi, membebaskan tanah air umat Islam yang dijajah maka tepuk dada tanya iman.
“Hari ini Masjid Al-Aqsa berada di tangan Zionis Yahudi yang dilaknat oleh Allah SWT,” katanya ketika merasmikan Hari Penghayatan Islam sempena Sambutan Maulidur Rasul 1445H/2023 di Masjid Al-Ikhwan, Gelong Bilal, di sini semalam.
Hadir sama Timbalan Pengarah Pembangunan Insan Yayasan Islam Terengganu, Dr Ahmad Fadhluldin; Pensyarah UNISZA Dr Ala-Uddin Othman, Pengarah Akedemi Duat, Ustaz Mohd Zulkhairi Ngah; Pengarah I-Mits, Ustaz Kamaruzaman Abdullah; Pegawai Agama Petronas, Ustaz Aidil Adha Tahir dan Duat Kuala Berang, Ustaz Hanis Rozlan.
Dr Khalil juga berkata, Maulidur Rasul sempena memperingati kelahiran Nabi Muhammad SAW adalah satu penghayatan yang sangat luas.
“Bila sambut Maulidur Rasul kita jangan sahaja melihat kepada aspek pakaian, amalan Rasulullah SAW di rumah, dengan jiran dan keluarga (sahaja), antara amalan baginda berperang pada jalan Allah SWT,” kata.
Bagaimanapun, kata beliau, Islam memberi panduan berperang dengan cara dan kaedahnya.
Beliau turut berkongsi cerita mengenai pejuang Islam yang berjihad di Palestin menghargai sumbangan ikhlas rakyat Malaysia.
“Saya bertemu dengan kawan-kawan kita di Malaysia yang mempunyai hubungan dengan saudara-saudara kita yang berjihad di sana, mereka kata pejuang-pejuang Islam di Palestin berjihad dengan sumbangan ikhlas daripada umat Islam.
“Kami tidak mengharapkan sumbangan kerajaan yang kaya raya sebab itulah bila umat Islam ikhlas maka Allah SWT akan beri kemenangan walaupun dengan jumlah yang sedikit.
“Berapa banyak kumpulan yang kecil mengalahkan kumpulan yang besar dengan izin Allah SWT,” katanya.
Menurut beliau yang juga Adun Batu Buruk, mengingati Maulidur Rasul adalah satu penghayatan yang sangat luas. – HARAKAHDAILY 13/10/2023











