Islam sejagat bersatu bantu perjuangan Palestin

Mohd Zai Mustafa
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Umat Islam sejagat diseru agar bangkit bersatu padu dalam menangani isu konflik Palestin-Israel yang sedang hangat berlaku.

Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa, juga dikenali sebagai Mohd Zai, menekankan pandangan dan pendirian tegas UMMAH berhubung dengan isu ini. 

- Advertisement -

Beliau memberi fokus kepada pentingnya sokongan terhadap rakyat Palestin yang sedang berjuang untuk mempertahankan tanah air mereka dan hak mereka sebagai manusia.

“Pertama sekali, isu Palestin adalah isu ummat Islam dan manusia sejagat. Rakyat Palestin sedang berjuang mempertahankan tanah air negara mereka, maruah dan kedaulatan mereka serta harta benda mereka,” kataya kepada HarakahDaily.

Beliau menekankan bahawa perjuangan rakyat Palestin telah berlangsung selama 75 tahun untuk melawan penjajahan Israel. 

Mohd Zai  juga menegaskan bahawa UMMAH menggesa semua pihak, termasuk kerajaan, pembangkang, NGO dan NGI, untuk bersatu dalam memberikan sokongan dan dokongan kepada perjuangan rakyat Palestin.

“Sokongan kita tidak boleh terhenti pada perkataan semata-mata. Selain daripada semangat, kita juga perlu memberikan sokongan kewangan dan bantuan perubatan serta kebajikan kepada rakyat Palestin yang terjejas oleh konflik ini,” jelasnya.

Beliau juga menggesa kerajaan Malaysia untuk menggunakan segala saluran dan hubungan bantuan antarabangsa dengan negara-negara dan pemimpin umat Islam bagi memastikan hak-hak rakyat Palestin yang berdaulat diperolehi dan diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa.

“Diharapkan juga agar Malaysia menerajui perbincangan dalam negara Organisasi Kerjasama Islam (OIC) untuk membantu Palestin menegakkan negara yang berdaulat dan diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa. 

“UMMAH, sebagai sebuah NGO yang berdedikasi untuk memperjuangkan hak dan kepentingan umat Islam, terus bersuara dalam isu ini dan berusaha untuk mencapai kesatuan dalam menyokong rakyat Palestin dalam usaha mereka untuk mendapatkan keadilan dan perdamaian,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/10/2023

- Advertisement -