Roket buatan Hamas gegar bumi Israel

- Advertisement -

PADA 7 Oktober 2023, Hamas, iatu gerakan pembebasan Palestin melakukan serangan berani terhadap Israel dan berjaya membunuh ratusan askar Israel serta menculik pulohan yang lain.

- Advertisement -

Mereka juga berjaya menghancurkan aset-aset Israel termasuk pengkalan tentera dan balai polis.

Rejim Zionis Israel bertindak balas dengan mengebom Gaza. Pengeboman tersebut setakat ini meragut lebih 300 nyawa warga Palestin yang tidak berdosa termasuk kanak-kanak dan wanita.

Banyak bangunan, rumah dan pejabat hancur musnah akibat pengeboman oleh jet pejuang tentera udara Israel yang dibekalkan oleh Amerika Syarikat.

Mungkin ada dalam kalangan rakyat Malaysia berpendapat bahawa kesengsaraan warga Palestin hasil dari tindakan kurang cerdik tentera Hamas di Gaza yang melancarkan serangan sebelum itu.

Mereka mungkin merasakan semua iu boleh dielakkan jika Hamas `tidak cari pasal menyerang’ Israel.

Sebenarnya, sesiapa yang mempunyai pandangan seperti di atas perlu disedarkan bahawa kefahaman mereka tentang apa yang berlaku di Palestin adalah sangat cetek serta buta sejarah.

Negara haram

Hakikat paling penting yang perlu disedari oleh meraka ialah Israel sebenarnya sebuah negara haram.

Seperti yang diterangkan oleh seorang pakar sejarah berbangsa Yahudi dari Israel sendiri yang bernama Prof Ilan Pappe dalam bukunya yang masyhur `The Ethnic Cleansing of Palestine’, kewujudan Israel pada tahun 1948 adalah hasil dari tindakan kumpulan Yahudi Zionis yang telah datang dari Eropah ke bumi Palestin pada awal kurun ke-20.

Mereka melakukan tindakan penghapusan etnik (ethnic cleansing) yang melibatkan jenayah pembunuhan beramai-ramai (massacre) serta penghalauan penduduk Palestin dari kampung halaman mereka (expulsion).

Akibat tindakan tersebut lebih 750,000 penduduk Palestin menjadi pelarian dan tidak dibenarkan pulang ke tanah air sehingga sekarang, walaupun hak mereka di bawah Resolusi 194 Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) diluluskan pada tahun 1948.

Tidak cukup dengan itu, kumpulan penjenayah Zionis terus mengganas dan pada tahun 1967 merampas Tebing Barat dan Timur Baitul Maqdis, termasuk termasuk Masjid Al Aqsa.

Walaupun masyarakat antarabangsa tidak mengiktiraf wilayah Tebing Barat sebagai sebahagian dari Israel, namun kerajaan Israel terus membuka penempatan atau bandar-bandar untuk orang Yahudi sahaja di atas tanah-tanah yang dirampas dari warga Palestin.

Bahkan banyak kebun zaiton warga Palestin juga dirampas oleh pendatang Yahudi Zionis dengan bantuan tentera Israel.

Sebahagian besar Tebing Barat sekarang (dipanggil Area C) adalah di bawah kuasa penuh tentera Israel. Ini membenarkan mereka mengawal pergerakan rakyat Palestin dengan mewujudkan ratusan sekatan jalanraya.

Rakyat Palestin disekat

Warga Palestin dihalang dan disekat dari bergerak bebas dalam negara mereka sendiri sama ada untuk berkerja, mengusahakan kebun zaiton, pergi ke sekolah atau hospital atau untuk melawat ahli keluarga.

Semenjak pelantikan Benjamin Netanyahu sekali lagi sebagai perdana menteri pada Disember 2022 dengan sokongan puak-puak pelampau Zionis, kerajaan Israel semakin tidak segan untuk mendedahkan agenda sebenar mereka semenjak penubuhan negara haram Israel.

Agenda tersebut memastikan kesemua wilayah Palestin, termasuk Tebing Barat serta Baitul Maqdis Timur adalah 100 peratus di bawah kawalan mereka.

Penduduk Palestin di Tebing Barat akan dihalau keluar dan tanah mereka akan diambil alih oleh peneroka-peneroka haram Yahudi.

Sebelum ini, mereka juga merampas rumah puluhan warga Palestin di sebuah daerah bernama Sheikh Jarrah di Baitul Maqdis Timur bersebelahan dengan Masjid Al Aqsa.

Mereka juga berusaha untuk menghalau warga Palestin daripada melakukan iktikaf di Masjid Al Aqsa pada bulan Ramadan dan sebaliknya membenarkan kumpulan ekstrimis Zionis mengadakan sambutan `Jerusalem Day’ iaitu upacara tahunan memperingati kejayaan mereka merampas Baitul Maqdis daripada milik rakyat Palestin.

Beberapa pemimpin Israel mendedahkan rancangan mereka untuk merobohkan masjid AlAqsa dan digantikan dengan sebuah kuil Yahudi yang dipanggil Haikal Sulaiman.

Dikepung

Semenanjung Gaza pula dikepung oleh mereka seperti sebuah penjara. Tujuan dilakukan demikian ialah supaya penduduk berjumlah lebih dari 2 juta di dalam kawasan itu akur dengan kehendak mereka.

Akibatnya hak asasi warga Palestin dicabul dengan sewenang-wenangnya di bumi mereka sendiri.

Dalam erti kata yang lain, kumpulan penjenayah Zionis tidak akan berhenti daripada melakukan pencabulan hak asasi manusia terhadap warga Palestin sehingga kesemua bumi Palestin adalah di dalam milik mereka dan warga Palestin kesemuanya dihalau keluar dan identiti Palestin dihapuskan.

Dalam suasana tersebut, sebenarnya warga Palestin tidak mempunyai banyak pilihan. Sama ada mereka berpindah ke negara lain, atau hidup sebagai manusia yang dihinakan di bumi mereka sendiri dan akhirnya identiti mereka dilenyapkan.

Namun, alhamdulillah masih wujud daripada kalangan masyarakat Palestin yang mempunyai semangat jati diri yang tinggi.

Mereka tidak akan tunduk kepada usaha penjajah asing untuk terus merampas kesemua tanah mereka serta mencabul hak asasi mereka dan menghina Masjid Al Aqsa yang suci itu.

Yang paling menonjol dari kalangan warga Palestin yang menentang Israel ini ialah kumpulan Hamas.

Berbeza dengan kumpulan yang dipimpin oleh Mahmud Abbas yang bersetuju menjadi budak suruhan kerajaan Zionis Israel, Hamas dari awal kewujudannya lagi pada tahun 1980-an menolak tekanan dari semua pihak untuk mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara yang sah.

Sebaliknya Hamas berpendirian bahawa adalah menjadi tanggungjawab mereka sebagai orang Islam untuk menentang penjajahan negara mereka oleh orang asing dengan apa cara sekali pun, termasuk dengan cara ketenteraan.

Hamas berjihad

Perjuangan Hamas untuk membebaskan negara Palestin daripada penjajahan oleh pihak Zionis dianggap oleh kebanyakan ulama muktabar sebagai perjuangan jihad yang sah dan terpuji dan jika mereka mati dalam perjuangan tersebut, kematian mereka dianggap `syahid’.

Atas dasar itulah Hamas yang sekarang berpangkalan di Gaza telah memberi amaran kepada Israel supaya menghentikan jenayah zalim tehadap warga Palestin yang semakin hari semakin serius seperti merampas rumah kediaman warga Palestin di daerah Sheikh Jarrah.

Zionis juga merampas tanah Palestin di Tebing Barat, membunuh warga Palestin, memenjarakan ribuan warga Palestin, serta mencabul kesucian Masjid Al Aqsa.

Namun oleh kerana Israel masih terus melakukan jenayah-jenayah tersebut, Hamas tidak mempunyai pilihan selain daripada menyerang rejim Zionis Israel dengan menggunakan roket yang mereka bina sendiri dengan tangan-tangan mereka serta melakukan serangan berani mati di wilayah Palestin yang dijajah bersebelahan dengan Gaza.

Pejuang merobohkan pagar pemisah di antara Israel dan Gaza, serta melalui laut dan udara.

Sudah tentu mereka menyedari risiko bahawa Israel akan menyerang balas dengan ganas dan ramai dari kalangan ahli mereka mungkin akan terkorban.

Namun bagi Hamas, ia adalah satu perkara yang tidak dapat dielakkan kerana tanggung jawab menentang musuh yang ingin merampas tanah air mereka dan ingin menghapuskan masyarakat Islam Palestin adalah tanggungjawab mulia yang tidak boleh dikorbankan.

Sebagai rumusan, kesengsaraan yang dialami oleh rakyat Palestin adalah kensengsaraan yang bukan pilihan mereka sendiri.

Ia adalah kesengsaraan yang dipaksa ke atas mereka oleh penjenayah Zionis yang datang dari Eropah serta anak-cucu mereka yang sehingga hari ini berusaha untuk menghalau warga Palestin dan menghapuskan saki baki identiti masyarakat Palestin di negara milik mereka.

Kuasa Barat

Penjajah yang juga penjenayah dari Eropah jelas akan terus melakukan kezaliman terhadap warga Palestin di masa masa akan datang.

Yang paling dasyat ialah kezaliman Zionis Israel ini dilakukan dengan bantuan kuasa-kuasa barat, terutama sekali Amerika Syarikat sementara masyarakat dunia hanya terus menonton dan tidak berbuat apa-apa.

Persoalannya ialah apakah reaksi kita semua terhadap jenayah zalim yang sedang berlaku di hadapan mata kita sekarang?

Adakah kita hanya mahu menjadi penonton yang pasif yang sekadar mengucapkan rasa sedih dengan kejadian yang berlaku atau kita ingin menjadi pembela kepada kumpulan lemah yang dizalimi?

Tepuklah dada dan tanyalah iman kerana hadis Rasulullah SAW berbunyi (maksudnya): “Orang Islam itu bersaudara, tidak boleh menzalimi dan mengkhianatinya. Sesiapa yang menolong saudaranya, nescaya Allah akan menolongnya. Sesiapa yang menghilangkan kesusahan orang Islam nescaya Allah akan menghilangkan daripadanya kesusahan pada hari kiamat. Sesiapa yang menutup keaiban orang Islam nescaya Allah akan menutup keaibannya pada hari kiamat.” (Riwayat Ahmad) – HARAKAHDAILY 9/10/2023

Penulis ialah Pengarah Pusat Pengajian Palestin Hashim Sani, Universiti Malaya.

- Advertisement -