
KUALA LUMPUR: Main tarik tali, atau taktik menarik sokongan golongan peminjam pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), atau ada apakah dengan kerajaan madani yang pada mulanya mengumumkan pemberian diskaun PTPTN; tetapi kemudiannya perkara itu dimansuhkan pula?
Dalam pembentangan Bajet 2023 pada Feb lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pemberian diskaun kepada peminjam PTPTN bermula 1 Mac hingga 31 Mei lalu.
Namun, ketika ditanya media tempatan pada 4 Okt 2023 tentang adakah peminjam PTPTN bakal mendapat khabar gembira dalam pembentangan Bajet 2024 pada 13 Okt ini, Menteri di Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pula berkata, pihaknya tidak bercadang meneruskan pemberian diskaun pembayaran balik pinjaman berkenaan; dan sebaliknya menegaskan keputusan muktamad berhubung perkara itu tertakluk kepada Kementerian Kewangan.
Walau apa pun matlamat di sebalik pengumuman kerajaan mengenai isu diskaun PTPTN itu, namun yang penting ia telah meresahkan golongan peminjam, khususnya bekas pelajar institut pengajian tinggi atau mahasiswa.
Tinjauan HarakahDaily di sekitar ibu kota Kuala Lumpur mendapati ramai dalam kalangan bekas graduan yang kini bekerja dan membayar ansuran bulanan PTPTN merintih dan tidak berpuas hati dengan pengumuman KPT itu.

Kenapa baru sekarang? – Ahmad Fadhil
Penjawat awam, Ahmad Fadhil Husin, 43, memberitahu bahawa tindakan KPT ini adalah kurang wajar.
“Hal ini adalah kerana tidak semua peminjam PTPTN berkemampuan membayar balik pinjaman tersebut dalam tempoh yang telah ditetapkan bersama-sama dengan jumlah pinjaman yang perlu dibayar.
“ia juga disebabkan kekangan tertentu seperti masih ada bekas mahasiswa yang belum mendapat pekerjaan, pendapatan yang diperolehi oleh mereka buat masa ini hanya untuk menanggung keperluan diri sahaja dan sebagainya,” luahnya.
Tambahnya, apabila Menteri di KPT mengumumkan tiada lagi pemberian diskaun PTPTN, tindakan itu juga boleh menyebabkan peminjam yang ingin membuat pembayaran penuh sebaliknya menjadi enggan untuk berbuat demikian.
“Kenapa sekarang hendak dimansuhkan pemberian diskaun bayaran PTPTN? Kita tahu bahawa pemberian diskaun itu bukan perkara baharu kerana ia sudah lama dilaksanakan sebelum ini.
“Inisiatif yang dilaksanakan dahulu bagi memberikan diskaun kepada peminjam ini sememangya sangat bagus kerana dapat membantu golongan peminjam mengurangkan beban mereka dalam melaksanakan tanggungjawab membayar balik pinjaman.
“Dalam keadaan ekonomi negara pada masa kini dan pendapatan masyarakat yang tidak menentu, saya berharap supaya diskaun ini dapat diteruskan sebagai faedah yang memberi manfaat kepada bekas mahasiswa-mahasiswa,” telasnya.
Menurutnya, sekiranya ingin diteruskan juga pemansuhan diskaun PTPTN, pihak KPT diharapkan dapat memberikan alternatif lain bagi peminjam yang bermasalah untuk membuat bayaran balik, selain memberi galakan untuk peminjam membuat penyelesaian penuh pinjaman.

Kenapa tak maklum lebih awal? – Nurul Hidayah
Sementara itu, pegawai perhubungan awam di sebuah syarikat swasta, Nurul Hidayah Abdullah, 32, berpendapat, pembatalan diskaun PTPTN yang diumumkan KPT itu mungkin disebabkan golongan peminjam yang ‘liat’ atau langsung tidak melangsaikan hutang PTPTN sebelum ini yang memberi kesan kepada peminjam baharu.
“Bagi saya, mungkin inisiatif ini dibuat sebab terlalu banyak peminjam yang tidak membayar hutang, yang mana ini menyukarkan pihak PTPTN memberi pinjaman kepada pelajar yang baru melanjutkan pelajaran, sebab bila duit tak masuk semula (kepada PTPTN) macam mana nak keluarkan semula kan?
“Jadi, bagi yang yang sudah habis belajar tetapi masih belum habis bayar, sekurang-kurangnya akan adalah rasa tanggungjawab untuk membayar hutang PTPTN itu,” ulasnya.
Walau bagaimanapun, Nurul Hidayah berpendapat, kerajaan, khususnya KPT sepatutnya memaklumkan perkara ini lebih awal agar semua pihak terutama peminjam yang membuat perancangan bersedia.
“Jika kerajaan (KPT) membuat pengumuman empat hari lepas (4 Okt 2023) dan ia akan terus dilaksanakan, ini seolah-olah tidak adil kerana sepatutnya ia dihebahkan terlebih dahulu.”
“Sebagai contoh, semasa pengumuman pemansuhan (PTPTN) dibuat, ia sepatutnya diberi masa sehingga akhir tahun ini kepada peminjam untuk membayar hutang masing-masing, dan ini boleh menjadi pecutan terakhir kepada mereka yang mampu tetapi sering tertangguh,” jelasnya kepada HarakahDaily.
Selain itu, Nurul Hidayah turut berpendapat bahawa mekanisme yang dibuat oleh PTPTN dalam memastikan bayaran balik dibuat perlu dikaji semula keberkesanannya.
“Kita selalu dengar mekanisme yang PTPTN buat, yang mana bagi peminjam yang tidak bayar hutang tidak boleh keluar negara.
“Bagi saya, inisiatif tersebut bagus, tetapi pelaksanaan itu sangat tidak jelas. Contohnya apakah syarat dan kriteria yg menyebabkan mereka dikenakan sekatan?
“Mungkin pihak PTPTN boleh adakan cara yang lebih ketat, berbanding menyekat peminjam ke luar negara. Mungkin boleh melibatkan kelulusan pinjaman bank dan sebagainya.
“Ini kerana tak semua orang ingin ke luar negara tetapi peminjam lebih cenderung untuk terlibat dengan berurusan dengan bank, jadi perkara itu lagi jelas dan senang untuk mengesan peminjam PTPTN yang liat membayar semula pinjaman yang telah diberikan kepada mereka,” hujahnya.

Sangat tidak patut dilaksanakan – Ain Humaira
Kakitangan Swasta, Ain Humaira Abdullah, 26, pula berpendapat tindakan KPT untuk tidak meneruskan pemberian diskaun bayaran semula pinjaman PTPTN adalah sangat tidak patut dilaksanakan.
“Majoriti bekas mahasiswa yang mendapat pinjaman PTPTN terdiri daripada keluarga yang berpendapatan rendah iaitu golongan B40.
“Sekiranya pemberian diskaun ini masih ada, sekurang-kurangnya dapat meringankan kami untuk melangsaikan hutang PTPTN.
“Keadaan ekonomi pada masa kini, menyebabkan ramai graduan lepasan Institusi Pengajian Tinggi/ Awam (IPTA/IPTS) sukar memperolehi pekerjaan yang setimpal dengan bayaran gaji,” ujarnya kepada HarakahDaily.
Tambahnya, graduan yang masih belum mendapat pekerjaan, agak sukar untuk membuat bayaran hutang kerana mereka juga mempunyai komitmen lain untuk diuruskan.
“Tambahan pula, dengan sektor pekerjaan sangat kompetitif yang tidak menentu pada masa ini, tidak menjanjikan peluang pekerjaan.
“Bayangkan mahasiswa itu belajar selama tiga tahun di IPTA dengan bantuan pinjaman PTPTN. Bagi melangsaikan hutang PTPTN, dia memerlukan tempoh yang lama untuk membayar semula hutang PTPTN iaitu mengambil masa tujuh hingga 8 lapan tahun dengan peluang pekerjaan yang terhad dan pendapatan bulanan rendah yang rendah sekarang ini,” luahnya.
Oleh itu, Ain Humaira menegaskan bahawa pemberian diskaun PTPTN seharusnya dikekalkan agar dapat memberi peluang kepada graduan untuk membayar balik pinjaman dengan lebih mudah, sekali gus merangsang pertumbuhan ekonomi negara dan memberi insentif kepada mereka untuk mencapai kecemerlangan akademik serta menyokong perkembangan kemahiran mereka dalam jangka panjang.

Tindakan yang tidak bijak – Mohd Khairul
Fasilitator di sebuah agensi swasta, Mohd Khairul Nizam Yusof, 43, turut memberitahu bahawa dia turut tidak bersetuju dengan tindakan yang diumumkan oleh Menteri di KPT yang menegaskan tidak akan meneruskan pemberian diskaun bayaran semula PTPTN.
“Pemansuhan diskaun PTPTN dilihat sebagai satu tindakan tidak bijak kerana ia menambahkan beban mahasiswa selepas tamat pengajian.
“Sepatutnya pihak kerajaan perlu mempertimbangkan semula pemberian diskaun pinjaman PTPTN kepada lepasan universiti untuk dimasukkan ke dalam Belanjawan 2024,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/10/2023




















