
KUALA LUMPUR: Pertubuhan MyAqsa Defenders dengan kerjasama bersama 16 Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang lain telah melancarkan sebuah hashtag gelombang mega yang dinamakan #IsraelCuak dalam usaha bersolidariti kepada pejuang di Palestin yang ketika ini sedang berjuang dalam serangan Taufan Al-Aqsa.
Pengerusi majlis ahli tertinggi MyAqsa Defender, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman berkata, satu gelombang mega sosial media dengan hashtag #IsraelCuak dilancarkan secara rasmi susulan peperangan yang bermula pada Sabtu (7 Okt) lalu di wilayah Palestin.
“Satu gelombang #IsraelCuak akan bermula pada hari ini di sosial media dengan sokongan padu lebih lima juta pendukung dari pempengaruh MyAqsa Defenders, pimpinan-pimpanan NGO dan aktivis masyarakat.
“Kita berharap satu gelombang kebangkitan akan menatijahkan tindakan berterusan dalam membawa isu pembebasan bumi Palestin ke satu tahap yang lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media tergempar Operasi Taufan Al-Quds & Serangan Rejim Israel ke atas Gaza di Ummah Hall, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), di sini, hari ini.
Sementara itu, CEO Majlis Perundingan Pertubuhan Malaysia (MAPIM), Sani Araby Al-Kahery berkata, normalisasi yang cuba memburukkan tindakan pejuang Palestin daripada mempertahankan bumi mereka harus dipatahkan; dan hashtag tersebut adalah salah satu gerakan siber yang cuba diketengahkan dalam memerangi kejahatan pihak Israel.

“Kita telahpun mempersiapkan lebih kurang 16 NGO dengan kapasiti keseluruhan lima juta penyokong atau pengikut untuk sama-sama kita gerakkan daripada bumi tercinta Malaysia ini bagi menyatakan solidariti yang sangat jelas bahawa kita tak pernah reda dan setuju dengan tindakan Israel.”
“Dan kalau ada pihak yang mengatakan kenapa palestin terlebih dahulu pada kali ini, kisahnya rumah yang sedang diduduki itu adalah milik mutlak kita dan sedang dijajah dan mengaku bahawa hak kita ini adalah milik mereka.”
“Jadi, semua normalisasi yang cuba mengubah fakta dunia bahawa israel adalah pemilik kepada Palestin patut dipatahkan,” jelas beliau.
Tambahnya, #IsraelCuak adalah rentetan kepada hashtag #IsraelKoyak sebelum ini yang mana kita memperkenalkan satu kebangkitan yang boleh diikuti semua orang.
“Jika dahulu dengan #Israelkoyak kita berjaya mencapai hampir satu juta hashtag, jadi kali ini mohon untuk kita viralkan dan tunjukkan solidariti kita dengan mengatakan Israel memang sedang cuak pula,” ujarnya.

Turut hadir ialah CEO Cinta Syria Malaysia, Ahmad Musa al-Nuwayri Kamaruzaman; Ketua Pegawai Eksekutif Peace Global, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin; Pempengaruh Hazeman Huzir, Heliza Helmi, Syah Inteam serta beberapa wakil NGO dan pempengaruh yang lain.
Sehubungan itu, MyAqsa Defenders menyeru seluruh warganet Malaysia agar menyebarkan hashtag tersebut sambil menggesa pempengaruh memanfaatkan platform masing-masing sebagai tanda sokongan dan solidariti kepads rakan seperjuangam di Palestin.
MyAqsa defenders merupakan gabungan beberapa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) terdiri daripada Cinta Gaza Malaysia (CGM), Majlis Perundingan Islam Malaysia (MAPIM), Global Peace Mission Malaysia (GPM), Murtadha Dakwah Centre (MADAD), Cinta Syria Malaysia (CSM), Muslim Volunteer Malaysia (MVM), Malaysia for Syria (M4S), Serantau Muslim, MyFund Action, Iman Care, One Nation, Cakna Palestin, Al Azhar Care, Pertubuhan Kebajikan Dana Kita, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Persatuan Prihatin Warga Terpinggir Terengganu (Warga Cakna), Pertubuhan Glokal Ihsan Malaysia, Persatuan Gerak, Wanita Islam Malaysia (Gerak Wanis), MinQalby Foundation, Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR) dan Haluan Palestin.
Sementara itu, sejak awal serangan bermula Sabtu (7 Okt) lalu, MyAqsa Defenders turut membuka sebuah Command Centre (bilik gerakan) bagi perkongsian maklumat kepada para NGO rakyat Malaysia yang menantikan perkembangan di sana. – HARAKAHDAILY 9/10/2023




















