Pelangai: Tahniah, sokongan anak muda kepada PN melonjak

Ustaz Zarimi Shubrawi
- Advertisement -

BENTONG: Lonjakan sokongan anak muda yang begitu ketara pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Pelangai, Sabtu lalu memberi petanda baik bagi Pemuda PAS Pahang menyiapkan persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 nanti.

- Advertisement -

Ketua Dewan Pemuda PAS negeri, Ustaz Zarimi Shubrawi berkata, lonjakan ketara itu memperlihatkan bahawa anak muda sudah muak dengan permainan politik lapuk Barisan Nasional (BN).

“Orang muda dah muak dengan BN. Dulu boleh buat main-main, senang digula-gula, sekarang orang muda dah cerdik. Mengikut keputusan yang kami perolehi, saluran dua, tiga dan empat PERIKATAN NASIONAL menguasai, saluran satu lebih kurang sama, masih hak yang dulu itulah juga,” jelasnya.

Berdasarkan statistik dikeluarkan Institut Darul Ehsan, undian mengikut sokongan umur bagi kawasan majoriti Melayu pada PRK Dun Pelangai memperlihatkan peningkatan sokongan pengundi muda begitu ketara kepada PERIKATAN NASIONAL.

Pengundi lingkungan umur 25 hingga 30 tahun mencatat peratus kenaikan antara 41 hingga 59 peratus, manakala pengundi yang berumur antara 31 hingga 40 tahun peratusan kenaikan antara 45 hingga 58 peratus.

Sementara itu, kenaikan sokongan kepada PERIKATAN NASIONAL turut ketara bagi pengundi lingkungan umur 41 hingga 50 tahun dengan peratus kenaikan antara 41 hingga 57 peratus.

PERIKATAN NASIONAL, ujarnya turut menguasai Unit Daerah Mengundi (UDM) Felda yang mana dua daripada tiga UDM tersebut iaitu Kemasul dan Kemahal telah dimenangi manakala di UDM Chemomoi, BN hanya menang tipis.

Hal in,i menurut Timbalan Ketua Pemuda PERIKATAN NASIONAL Pahang itu, ia memberi isyarat jelas bahawa Felda bukan lagi deposit tetap bagi BN.

Beliau berkata, biarpun PN masih belum menang di Dun Pelangai, kemenangan sebenar adalah kemenangan mutlak di sisi Allah di akhirat kelak.

“Keputusan yang telah ditentukan Allah SWT adalah keputusan yang terbaik buat hamba-Nya setelah berusaha sedaya dengan kemampuan yang ada.

“Kelemahan yang ada mesti diperbaiki bagi memantapkan gerak kerja untuk terus ke hadapan, perkemaskan organisasi dan sentiasa menjaga hubungan dengan ahli serta hubungan dengan Allah SWT,” ujarnya

Beliau turut mengambil kesempatan bagi pihak Pemuda PAS Pahang merakam ucapan penghargaan buat seluruh saf kepimpinan Pemuda PAS Malaysia, negeri dan kawasan.

Tidak ketinggalan, ujarnya penghargaan turut diberikan kepada pemuda cawangan serta seluruh tenaga pemuda dalam dan luar Pelangai yang terlibat secara langsung atau tidak dalam gerak kerja sepanjang kempen PRK itu. – HARAKAHDAILY 9/10/2023

- Advertisement -