
KUALA LUMPUR: Isu Kemajuan Projek Pembinaan Kapal Peronda Generasi Kedua – Littoral Combat Ship (LCS) yang akan dibahaskan dalam Mesyuarat Ketiga Dewan Rakyat minggu hadapan di sambut baik.
Pengerusi Jawatan Kuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin berkata, ia merupakan perkara bersejarah memandangkan laporan tersebut belum pernah dibahaskan dalam mesyuarat Parlimen.
“PAC menyambut baik langkah berkenaan kerana ia membuktikan bahawa Parlimen mengambil langkah proaktif sebagai mekanisme semak dan imbang kepada badan Eksekutif/Kerajaan,” katanya.
Beliau juga menyatakan PAC telah mengadakan lawatan rasmi bersama Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dato’ Johari Abdul ke Limbungan Boustead Naval Shipyard (BNS), Markas Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut semalam.
Tambahnya, Pengarah Pasukan Projek LCS TLDM Laksamana Pertama Ir. Ts. Franklin Jeyasekhar Joseph dan Ketua Pegawai Eksekutif BNS Kepten (B) Ir. Azhar Jumaat telah memberikan taklimat berhubung projek tersebut kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan PAC sendiri.
Menurut beliau lagi, Johari telah mengeluarkan kenyataan berhubung kemajuan projek tersebut di di bawah Kementerian Pertahanan bagi Tempoh Oktober 2022 hingga Mei 2023 yang mana ianya akan dibahas dalam Mesyuarat Ketiga Dewan Rakyat dari 9 Oktober hingga 30 November ini.
“Saya akan berbincang lebih lanjut dengan Tan Sri Dato’ Johari Abdul berhubung mekanisme perbahasan laporan PAC kelak sebagai contoh usul perbahasan dan penggulungan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) semasa Mesyuarat Kedua pada 6 hingga 7 Jun 2023.
“Namun, saya berpandangan bahawa Laporan PAC wajar dibentangkan dan digulung oleh Pengerusi PAC Parlimen dan Ahli-ahli PAC Parlimen,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/10/2023




















