
KUALA LUMPUR: Ahli kumpulan nasyid Hijjaz, Faizal Hijjaz bakal menerbitkan sebuah single nasyid terbaharu berjudul, Kembalilah yang cukup istimewa kerana ia bakal memperkenalkan anaknya sendiri, Fathi Saleem.
Pemilik nama sebenar Mohd Faizal Osman berkata, lagu sulung alunan Fathi Saleem atau nama penuhnya, Muhammad Fathi Saleem Mohd Faizal bakal dikeluarkan melalui YouTube.
“Dia (Fathi) tunjuk minat untuk bernyanyi, dan saya cuba buat satu lagu untuk dia. Umurnya sudah besar (dewasa)…23 tahun,” kongsi beliau tentang anak ketiganya itu.
“Insya-Allah, pada 14 haribulan (Okt) ini kita ‘shoot’ (penggambaran), dalam akhir bulan Okt akan ‘release‘ (disiarkan) melalui saluran YouTube Faizal Hijjaz,” tambahnya.

Sehubungan itu, beliau berpesan kepada semua peminat-peminat kumpulan Hijjaz untuk menantikan lagu tersebut yang bakal keluar di saluran YouTube berkenaan.
Hijjaz merupakan kumpulan nasyid yang popular di era 2000an yang telah bergiat aktif menerusi syarikat Hijjaz Music Entertainment.

Pada awal penubuhannya pada pada 1 Ramadhan 1417 bersamaan 10 Januari 1997, kumpulan Hijjaz dianggotai seramai empat orang terdiri daripada Munif Ahmad (atau lebih dikenali sebagai Munif Hijjaz/Putra Aiman), Isman Nadim Isam (Isman/Manis Helma/Manis Alia, Mohd Salleh Ramli (Soleh), selain Faizal yang turut dikenali dengan nama Abai Os.
Namum, 15 Februari 2001, Hijjaz telah kehilangan Soleh yang pergi menghadap Ilahi, menyebabkan yang tinggal hanya 3 orang anggota; namun bermula dari album, Pelita Hidup III, Hijjaz telah menerima anggota baharu, Muhammad Ariffin Ahmad Rahim (atau Ariffin).
Hijjaz juga telah melahirkan kumpulan-kumpulan nasyid terkenal tanah air seperti kumpulan Inteam, UNIC, Ae-man dan Mestica.
Antara anak didik Hijjaz lain yang berjaya termasuklah Hafiz Hamidun, Fitri Haris, Fadzli Aziz dan Suhaimi Saad. – HARAKAHDAILY 6/10/2023





















