Masalah negara: ‘Ada menteri macam tak ada’

Datuk Seri Takiyuddin Hassan
- Advertisement -

BENTONG: Krisis makanan dan pelbagai masalah yang berlaku dalam negara hari ini menimbulkan persepsi bahawa kerajaan hari ini ada menteri, tetapi seolah-olah macam tiada.

- Advertisement -

Menurut Ketua Whip PERIKATAN NASIONAL, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, rakyat melihat seolah-olah Malaysia tiada kerajaan walaupun sudah hampir setahun PH-BN membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 pada November lepas.

“Kita rakyat Malaysia ni kadang-kadang rasa seolah-olah tidak ada kerajaan Persekutuan sekarang ini,” ujarnya semasa berucap dalam program Ceramah Perdana Pelangai Bersedia Berubah di Dataran Purnama, Simpang Pelangai, di sini, malam tadi.

Tambah beliau, kerana itu ada ungkapan yang kini tular yang dicipta oleh murid-murid sekolah rendah berkaitan dengan perkara itu.

“Cikgu dia suruh buat pantun daripada dua perkataan ‘ada’ dan ‘tak ada’. Jadi budak-budak ni buat pantun. Budak-budak dia pandai sekarang ni.

“Ada ayam telur tak ada; ada sawit minyak tak ada; ada tebu gula tak ada; ada bendang, beras tak ada;

“Lepas tu ada yang nakal disambung ‘ada menteri macam tak ada’. Balik rumah bapa dia sebut ada PMX, seolah-olah tak ada,” kata beliau.

Jelasnya, ini adalah manifestasi kekecewaan rakyat atas krisis makanan yang sedang berlaku sekarang, sedangkan semua tahu bahawa produk-produk ini dihasilkan dalam negara ini.

Tambah Takiyuddin, kerajaan Madani sekarang adalah kerajaan yang keliru sama ada mereka kerajaan atau pembangkang sehingga mereka gagal berfungsi dengan baik sebagai kerajaan.

“Yang Berhormat Ketua Pembangkang Parlimen kita mengatakan dalam Parlimen ‘kamu jadilah Perdana Menteri, saya Ketua Pembangkang. Kenapa kamu bertindak seolah-olah kamu ni Ketua Pembangkang.

“Ini semua nak bangkang, dia nak marah, dia nak kritik pembangkang. Kerja kerajaan bukan kritik pembangkang. Kerja pembangkang memanglah kritik kerajaan. Ini dia nak jadi pembangkang juga,” ujarnya.

Turut berucap ialah Setiausaha Agung PERIKATAN NASIONAL, Dato’ Seri Hamzah Zainudin, Naib Presiden Bersatu, Ronald Kiandee, Ketua Penerangan PAS Pusat, Ir. Ts. Khairil Nizam Khirudin dan Ahli Parlimen Maran, Dato’ Sri Dr Ismail Abd Muttalib. – HARAKAHDAILY 5/10/2023

- Advertisement -