
KUALA LUMPUR: Sebanyak 81 peratus rakyat negara ini yang tidak berpuas hati dengan suasana ekonomi pada masa ini.
Menurut akaun media sosial Facebook, OK Media, dalam satu kajian soal selidik yang dilakukan terhadap 5,000 responden yang diadakan dari 1 hingga 30 Sept 2023 mengenai pandangan mereka terhadap suasana ekonomi negara pada masa ini, selepas 10 bulan berada di bawah kerajaan baharu.
Majoriti responden tersebut ialah berbangsa Melayu (95%) diikuti dengan Cina (1%) dan India (1%) yang mana kebanyakannya menetap di negeri Selangor sebanyak 36.3 peratus berbanding dengan negeri-negeri lain.
Kebanyakan responden berumur lingkungan antara 30 hingga 39 tahun (39%) dan diikuti dengan 40 hingga 49 tahun (32%); manakala hanya 17 peratus sahaja responden yang menjawab berumur 50 tahun ke atas serta 12 peratus dalam kalangan berumur 18 hingga 29 tahun.

Menurut keputusan kajian tersebut, ia menunjukkan peningkatan keluhan rakyat yang menyentuh pelbagai aspek termasuk suasana ekonomi, pelaksanaan perundangan dan kestabilan kerajaan.
Sudut aspek ekonomi menunjukkan lebih 4 daripada 5 responden yang disoal berkenaan suasana ekonomi Madani menyatakan ketidak puasan hati mereka.
Responden berkenaan membangkitkan pelbagai isu sara hidup termasuk pembekalan makanan yang terbantut, kos makanan dan keperluan asas yang melambung tinggi, selain peluang pekerjaan dan imbuhan yang berkurangan.

Hanya 16 peratus yang berpuas hati dengan keadaan ekonomi tersebut manakala selebihnya hanya menjawab tidak pasti.
Kebanyakan responden juga (lebih 4 daripada 5) didapati tidak berpuas hati dengan pembebasan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi atas 47 pertuduhan sebanyak 81 peratus.
Walaupun begitu, masih terdapat 11 peratus yang berpuas hati dengan keputusan mahkamah tersebut manakala sebanyak 8 peratus masih lagi dalam keadaan tidak pasti.

Keputusan kajian juga menunjukkan bahawa seramai 4 daripada 5 responden berpendapat kerajaan sekarang tidak akan kekal, malah 3 daripada 4 responden mengharapkan berlaku pertukaran kerajaan sebelum keadaan semakin meruncing.
Keputusan terperinci kajian tersebut menunjukkan 75 peratus responden mengharapkan agar berlaku pertukaran kerajaan dalam masa terdekat, berbanding hanya 22 peratus responden masih ingin mengekalkan kerajaan sedia ada; dan baki tiga peratus responden tidak pasti. – HARAKAHDAILY 5/10/2023





















