Politeknik-Kolej Komuniti depani cabaran transformasi digital

Majlis Konvokesyen Politeknik Kota Bharu ke–36 telah berlangsung di Kota Bharu, Kelantan dari 11 hingga 14 Sept 2023.
- Advertisement -

KOTA BHARU: Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) bersedia mendepani cabaran transformasi digital menuju Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) termasuk pembangunan teknologi kenderaan elektrik (EV).

Pengarah Kanan (Kompetensi) JPPKK, Zainab Othman berkata, pihaknya menerima peruntukan hampir RM3 juta daripada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bagi memastikan pelajar dan tenaga pengajar diberikan latihan sepenuhnya menuju IR 4.0.

- Advertisement -

Kata beliau,  pihaknya menyediakan perancangan terperinci untuk memberi latihan dalam bidang berkaitan IR 4.0. 

“Selain itu, kita turut memberi peruntukan melalui bahagian biasiswa dan Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST) untuk memberikan latihan pensijilan antarabangsa.

“JPPPKK turut menyediakan peruntukan untuk belanja mengurus bagi institusi-institusi terlibat bagi memastikan bukan hanya pelajar dan tenaga pengajar, malah kelengkapan kita setara dengan keperluan ke arah itu,” ujarnya kepada pemberita selepas Majlis Konvokesyen Politeknik Kota Bharu ke-36, di sini semalam.

Zainab memberitahu, berkaitan pembangunan teknologi EV, latihan disediakan, malah sebuah kolej komuniti yang memberi fokus kepada teknologi EV dan beberapa peneraju industri turut dilibatkan untuk membantu.

Menurutnya, dengan sokongan industri, JPPKK bercadang untuk menubuhkan beberapa kolej teknik untuk menerajui teknologi EV di negara ini. 

“Pelan sebenarnya menubuh dalam bentuk zon kerana kita tidak mampu melaksanakannya di setiap negeri. Jadi akan ada satu kolej di zon Pantai Timur, utara, tengah, selatan dan Borneo,” tambahnya. 

Terdahulu, Politeknik Kota Bharu telah menganjurkan Majlis Konvokesyen Politeknik Kota Bharu ke–36 bagi 2023 sebagai pengiktirafan ke atas kejayaan 1,327 graduan menamatkan pengajian dalam  bidang kejuruteraan, teknikal dan pengurusan perniagaan.

Konvokesyen terbabit berlangsung selama empat hari bermula 11 hingga 14 September lalu bertempat di Dewan Jubli Perak, Politeknik Kota Bharu.

Seramai 1,327 graduan menamatkan pengajian pada tahun 2022 meliputi Jabatan Kejuruteraan Awam seramai 261 orang, Jabatan Kejuruteraan Elektrik (294 orang), Jabatan Kejuruteraan Mekanikal (331) dan Jabatan Perdagangan (441).

Zainab juga berkata, Politeknik mempunyai peranan penting dalam pembangunan modal insan negara. 

“Untuk tempoh Rancangan Malaysia ke-12 (2021–2025), tumpuan diberi dalam usaha mengukuhkan teknologi pendigitalan demi penyediaan pasaran kerja masa hadapan di samping memperkasa ekosistem keusahawanan berteraskan teknologi digital. 

“Justeru, pemilihan tema konvokesyen kali ini, Graduan TVET Pemacu Generasi Madani amat bertepatan dengan hala tuju negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/9/2023

- Advertisement -