
KOTA BHARU: Takaful Ikhlas General Berhad (Takaful IKHLAS) membina sebuah telaga tiub bernilai RM180,500 bagi meningkatkan sumber air bersih kepada penduduk di kawasan sekitar Politeknik Kota Bharu (PKB) di Kok Lanas dekat sini.
Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas General Berhad, Datuk Rudy Rodzila Che Lamin berkata, projek berkenaan bermula Januari lalu dan siap dibina pada Mac.
Katanya pembinaan telaga tiub itu melibatkan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Yayasan Canselor dan Fakulti Sains dan Teknologi (FST) UKM.
Menurutnya, kerjasama itu juga merupakan sebahagian daripada program Perantaraan Berasaskan Nilai Takaful dan program kelestarian masyarakat yang dapat dmanfaat penduduk serta komuniti setempat.
“Di samping itu, program terbabit juga dapat menggalakkan aktiviti penyelidikan dan kepakaran warga pendidik serta pelajar institusi pengajian tinggi di negara ini.
“Sebelum projek itu dimulakan, kita melaksanakan kerja-kerja penyelidikan geologi, geofizik dan sistem rawatan air,” ujarnya kepada media pada Majlis Perasmian dan Penyerahan Telaga Tiub di PKB, Kok Lanas di sini semalam.
Sehubungan itu, kata beliau PKB berharap kerjasama yang dijalinkan dapat memberi impak yang positif dan dinikmati oleh pelbagai lapisan masyarakat.
Sementara itu, Timbalan Dekan Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat FST UKM, Prof Madya Profesional Geologist Dr Mohd Hariri Arifin berkata, telaga tiub terbabit dibina untuk kegunaan lebih 5,000 pengguna dengan kedalaman 100 meter.
Katanya, air daripada telaga tiub lebih jernih dan tidak berbau kerana ia menggunakan sistem penapis mengikut garis panduan yang ditetapkan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia. – HARAKAHDAILY 15/9/2023











