Selepas diserbu polis: Adik-beradik Sara Sharif dikembalikan  

Sara Sharif (kanan) ditemui meninggal dunia di Surrey, United Kingdom (foto kiri atas) pada 10 Ogos 2023, sehari selepas (foto kiri bawah - dari kiri, bapanya, Urfan Sharif; ibu tiri, Beinash Batool; dan bapa saudara, Irfan Malik melarikan diri ke Pakistan. (FOTO: Metro UK)
- Advertisement -

JHELUM, Pakistan: Lima adik-beradik Sara Sharif yang diambil dari rumah datuk mereka di Pakistan selepas serbuan polis pada Isnin (11 Sept) telah dikembalikan semula selepas beberapa jam kemudian.

Lima kanak-kanak berusia antara satu hingga 13 tahun itu telah dibawa dari United Kingdom ke Pakistan oleh bapa mereka, Urfan Sharif; bapa saudara, Irfan Malik; dan ibu tiri, Beinash Batool sebelum ditinggalkan di rumah datuk mereka, Muhammad Sharif di bandar Jhelum, di sini, pada 10 Ogos lalu (waktu Pakistan).

- Advertisement -

Perbicaraan mahkamah untuk memutuskan hak penjagaan kanak-kanak itu ditetapkan pada hari ini, Selasa (12 Sept), lapor BBC.

Sara yang berusia sepuluh tahun ditemui meninggal dunia di rumah keluarganya di Woking, Surrey, pada 10 Ogos lalu (waktu UK) – sehari selepas bapa dan ibu tirinya melarikan diri dari UK; dan ujian bedah siasat mendapati Sara telah mengalami ‘pelbagai kecederaan yang meluas’.

Bercakap  kepada media sebelum ini, datuk Sara, Muhammad Sharif memberitahu BBC bahawa lima adik-beradik Sara itu tinggal di rumahnya di bandar Jhelum di timur laut sejak ketibaan mereka pada 10 Ogos.

“Memandangkan mereka datang dari UK, saya tidak membenarkan mereka pergi,” ujarnya. 

“Saya memberitahu Urfan dan Beinash bahawa mereka boleh pergi ke mana sahaja mereka mahu, tetapi saya tidak akan benarkan anak-anak pergi bersama dia. 

“Sehingga hari ini, tiada siapa yang bertanya kepada saya tentang anak-anak itu. Mereka (lima kanak-kanak itu) ada bertanya kepada saya tentang Urfan, Faisal dan Beinash, tiada siapa yang bertanya kepada saya tentang anak-anak itu,” kongsinya lagi.

Muhammad  kemudian berkata: “Sekiranya seseorang bertanya tentang lima anak-anak ini, saya akan berkata mereka selamat bersama saya. 

“Ia adalah hak dan tanggungjawab saya, tiada siapa yang boleh mengambil berat tentang mereka lebih daripada saya, ” ujarnya berulang kali menafikan ada berhubung dengan anaknya atau mengetahui di mana anak lelakinya itu berada.

Dia juga telah memberi jaminan kepada polis bahawa dia akan hadir di mahkamah tetapi masih belum jelas sama ada kanak-kanak itu dikehendaki hadir.

BBC juga bercakap dengan saudara perempuan Urfan Sharif, yang berkata kanak-kanak itu sangat sedih apabila mereka dibawa dari rumah datuk Sara itu.

“Kelima-limanya menangis, polis mengheret mereka,” kata Farzana Malik.

Saksi kejadian memberitahu BBC bahawa berpuluh-puluh pegawai polis menyerbu kediaman Muhammad pada jam 16:30 waktu tempatan (12:30 BST); dan menghentikan lalu lintas serta  menghalang sesiapa daripada merakam kejadian menerusi  telefon bimbit mereka.

Pada Jumaat (8 Sept) lalu, Muhammad memberitahu BBC bahawa dia telah menghantar mesej kepada anaknya, menyuruh agar menyerah diri kepada polis.

Dalam pada itu, Muhammad dan keluarganya mendakwa pihak polis mengganggu mereka, menahan beberapa ahli keluarganya secara haram dan menyerbu rumah mereka secara. 

Dia juga menuduh polis mencipta kes palsu terhadap mereka untuk menambah tekanan di samping telah memecahkan kamera CCTV dan pintu pagar rumahnya, namun dinafikan pihak polis.

Polis bagaimanapun mengesahkan mereka telah mengambil lima kanak-kanak itu, tetapi Urfan Sharif, Beinash dan Faisal tiada bersama mereka di situ, dan  berkata kanak-kanak itu tidak menolak untuk pergi dari rumah datuk mereka itu.

Sementara pihak polis Surrey, UK dalam satu kenyataan berkata: “Jelas sekali ini penting, dan kami telah berhubung dengan Majlis Daerah Surrey dan rakan kongsi antarabangsa kami, termasuk Interpol, Pejabat Luar, Komanwel dan Pembangunan serta Agensi Jenayah Kebangsaan, untuk menentukan langkah seterusnya.”

Pasukan polis itu menambah bahawa ‘kebajikan lima kanak-kanak itu menjadi keutamaan pihaknya’.

Terdahulu, ibu kandung Sara, Olga Sharif, yang berpisah dengan Urfan pada 2015, bercakap dalam program televisyen, Poland Uwaga! pada Rabu (6 Sept) dalam nada sebak berkata: “Sebelah pipinya (Sara) bengkak dan sebelah lagi lebam. 

“Sekarang pun, bila saya pejamkan mata saya nampak macam mana rupa anak saya itu. “Tidak ada seorang ibu yang perlu melihat sesuatu seperti itu berlaku terhadap anak mereka.” – HARAKAHDAILY  12/9/2023

- Advertisement -