
KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan digesa memperkukuhkan jenama dan pengeluaran beras tempatan bagi setiap negeri sebagai langkah jaminan berganda agar tidak timbul isu bekalan beras tidak mencukupi dan harga kenaikan beras import untuk rakyat Malaysia di seluruh negara.
Penganalisis Sosio-Ekonomi di Pusat Penyelidikan Strategik (PPS), Ahmad Fauzi Mustafa berkata demikian, susulan pada awal bulan (1 September) ini, negara ini telah dikejutkan dengan pengumuman kenaikan harga beras import yang mendadak sehingga mencecah 36 peratus.
“Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pihaknya mengharungi separuh tahun pertama yang sangat mencabar disebabkan ketidaktentuan pelbagai faktor luaran seperti perubahan iklim, kadar pertukaran matawang asing yang semakin lemah, kos operasi yang tinggi dan konflik serantau.
“Katanya, faktor-faktor itu secara kolektif telah mencetuskan kesan ketara ke atas pasaran dagangan beras global, ditambah lagi dengan kesan larangan pengeksportan beras putih yang diumumkan oleh India baru-baru ini,” ungkap beliau.
Justeru, Ahmad Fauzi mencadangkan agar setiap pengeluaran beras tempatan di peringkat negeri perlu mempunyai jenama beras tempatan tersendiri, setidak-tidaknya pengeluaran beras tempatan ini dapat menampung sekurang-kurangnya 65 peratus sehingga 68 peratus,rakyat di sesebuah negeri berkenaan.
Katanya lagi, jika dilihat pada masa ini, Terengganu merupakan salah satu negeri yang terlibat mengeluarkan beras tempatan.
“Beras keluaran anak syarikat kerajaan Terengganu yang diberi nama ‘Beras Ganu’ telah mendapat permintaan tinggi para pengguna ekoran kenaikan harga beras import dan kekurangan beras tempatan lain di pasaran ketika ini.
“Penasihat Syarikat Al-Amin Barokah Sdn. Bhd, Mohd. Khairul Nizam Mohd. Razali, berkata, permintaan terhadap Beras Ganu telah meningkat lima kali ganda sejak kenaikan harga beras import pada 1 September lalu.
“Beras Ganu yang dihasilkan menerusi sawah padi negeri itu seluas kira-kira 12,000 hektar dan daripada jumlah keluasan hektar itu, 500 hektar adalah sawah padi yang mempunyai Sijil Amalan Pertanian Baik Malaysia (MyGAP), sekali gus menghasilkan beras berkualiti sangat tinggi dan biosekuriti.
“Harga Beras Ganu juga dikatakan jauh lebih murah berbanding dengan beras berjenama lain dan tidak membebankan semua pihak terutama golongan B40. ”ujarnya, ketika dihubungi HarakahDaily.
Sehubungan itu, beliau turut memberitahu seandainya setiap negeri mempunyai amalan pertanian yang baik, secara tidak langsung ianya dapat menyelesaikan isu kekurangan beras atau harga mahal bagi beras yang diimport di negara ini.
Malahan Malaysia pun tidak berasakan bimbang kerana sekuriti makanan beras berada di tahap terkawal dan terjamin menerusi perancangan strategik dan lebih sistematik terhadap pengeluaran beras tempatan ini.
Tambah beliau lagi, pada masa kini BERNAS perlu melihat lebih mendalam dan melakukan tindakan inovasi berhubung pendekatan obligasi sosialnya sebagai strategi menjamin sekuriti makanan negara.
“Inovasi bermaksud proses pengubahsuaian dan penambahbaikkan kepada produk yang sedia ada.”
Sepatutnya kementerian yang bertanggungjawab telah lama bersedia bagi menangani masalah kurang bekalan beras dan kenaikan harga beras import selepas kerajaan India yang merupakan pengeksport beras terbesar dunia telah melarang mengeksport beras putih India.
Menurut Ahmad Fauzi lagi, kajian statistik telah menunjukan bahawa negara India telah menyumbang hampir 40 peratus daripada perdagangan beras global pada 2022, merangkumi jumlah eksport 22 juta tan bernilai sekitar AS$9.66 billion (RM45.17 bilion), manakala beras negara berkenaan telah dieksport ke-140 negara di seluruh dunia termasuk negara kita, Malaysia.
Justeru itu, beliau berpandangan bahawa jenama beras sendiri di negeri-negeri seperti Kedah, Perak dan Selangor hendaklah diperkukuhkan, dikomersialkan dari segi penjualan dan pemasaran.
“Biarlah rakyat tahu bahawa beras putih tempatan adalah berkualiti dan mesra-kesihatan seperti mana beras-beras yang diimport.
“Harga berpatutan ke atas beras jenama tempatan ini akan memberi ruang kepada rakyat untuk menjadikan pembelian bijak selepas ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/9/2023




















