
MUAR: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz adalah antara yang menyokong kebenaran mengundi bagi umur 18 tahun ke atas semasa ia dibentang di Dewan Rakyat suatu masa dahulu.
Menurutnya, ini kerana beliau percaya bahawa anak muda yang mampu berfikir tentang politik akan menjadikan mereka matang dalam berfikir.
‘Dan saya fikir bahawa itulah kejayaan kita, undi muda umur 18 tahun. Yang saya dulu masa zaman pemuda dulu saya amat menyokong supaya anak-anak muda kita ni diberi peluang untuk mengundi lebih awal kerana mereka akan cepat matang.
“Sesiapa sahaja rakyat negara kita yang mula berfikir politik negara ni, dia pasti akan cepat matang dalam menilai sesuatu. Bukan hanya soal politik bahkan dalam pendidikan mereka pun mereka akan cemerlang dengan sebab mereka mula berfikir pada aras tinggi,” ujarnya.
Ustaz Nik Abduh berkata demikian kepada wartawan ketika ditemui usai sidang media bagi pembentangan tawaran PERIKATAN NASIONAL bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Simpang Jeram yang berlangsung di Markas PAS Kawasan Bakri, di sini, hari ini.
Mantan Ahli Parlimen Bachok itu menambah, anak muda sewajarnya tidak hanya berfikir tentang belajar, bersukan dan berhibur semata-mata, namun harus meningkatkan kemampuan mereka berfikir topik yang lebih berat.
“Mereka kena fikir yang berat. Dan tidak ada yang lebih berat selain daripada berfikir politik,” ujar beliau yang baru sahaja dipilih oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan untuk dilantik sebagai Ahli Dewan Negara semalam. – HARAKAHDAILY 6/9/2023




















