
MUAR: Ramai anak muda mengambil inisiatif sendiri membina gelanggang sukan takraw kerana tidak banyak kemudahan bersukan yang masih berfungsi di DUN Simpang Jeram.
Lebih malang lagi daripada empat gelanggang futsal dan hanya satu sahaja boleh digunakan anak-anak muda.
Calon PERIKATAN NASIONAL (PN) Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Simpang Jeram, Dr Mazri Yahya berkata, pembinaan dan penyelenggaraan infrastruktur sukan dan rekreasi perlu diberi perhatian kerajaan.
Katanya keadaan itu berlaku kerana tidak ada peruntukan kewangan disediakan kerajaan untuk menyelenggara gelanggang-gelanggang futsal tersebut.
“Anak-anak muda di DUN ini sebenarnya ada kebolehan dalam bidang sukan, namun kemudahan infrastruktur bersukan sangat menyedihkan.
“Saya kira ini merupakan perkara yang perlu dititikberatkan kerajaan negeri bagi mencungkil bakat-bakat baru,” katanya pada sidang media ketika membentangkan Tawaran PN DUN Simpang Jeram di Markas PAS Kawasan Bakri, hari ini.
Turut hadir dalam sidang media tersebut ialah Pesuruhjaya PAS Johor, Ustaz Abdullah Husin, Penolong Setiausaha Agung PAS, Khairul Faizi Ahmad Kamil, Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Johor, Rusman Kemin dan ADUN Maharani, Abdul Aziz Talib.
Tawaran ‘Simpang Jeram Sejahtera Dan Berpendidikan’ mengandungi empat tawaran iaitu Dialog Awam Berkala; Prihatin Masyarakat Majmuk; Pelan Penubuhan Kompleks Sukan dan Pelan Penempatan Rumah Mampu Milik.
Dr Mazri juga berkata, beliau pernah bertemu dengan pasukan futsal yang mewakili Simpang Jeram ke Pertandingan Futsal Komuniti di Johor Bahru. – HARAKAHDAILY 6/9/2023











