
KOTA BHARU: Beberapa pemimpin Umno di Johor dijangka akan membantu kempen PERIKATAN NASIONAL (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.
Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata situasi itu berlaku ekoran penolakan rakyat terhadap kepimpinan utama Umno sekarang.
Katanya ramai dalam kalangan pimpinan Umno di peringkat bahagian menyokong PN berbanding bekerjasama Pakatan Harapan (PH) terutamanya DAP.
“Ramai pemimpin Umno di Johor difahamkan lebih cenderung kepada PN. Perkembangan itu kita percaya boleh membantu kempen untuk menarik undi terutamanya dalam kalangan penyokong dan ahli Umno.
“Ini antara faktor yang boleh menentukan kemenangan PN di Johor,” katanya ketika ditemui media di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Panchor hari ini.
Media sebelum ini melaporkan terdapat tujuh Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) akan meletak jawatan, di mana empat daripadanya dari Johor.
Perkara itu didedah Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Datuk Lokman Noor Adam yang mendakwa terdapat desas-desus tujuh Ahli Parlimen BN akan mengosongkan kerusi.
Tujuh kerusi Parlimen terbabit di mana empat daripada mereka dari Johor, masing-masing satu kerusi di Pahang, Sabah dan utara tanah air.
Bagaimanapun Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan dakwaan tersebut sebagai khabar angin.
Mohd Amar berkata, perkembangan yang berlaku itu merupakan manifestasi rasa tidak puas hati terhadap kepimpinan Presiden Umno sekarang.
“Kenyataan penafian Zahid menjelaskan kalau tiada angin masakan pokok bergoyang, mesti ada sesuatu yang berlaku. Kita tengoklah macam mana nanti.
“InsyaAllah kalau semua bergabung tenaga, peluang kita untuk menang di PRK Johor terbuka luas,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 24/8/2023




















