Beban rakyat: Ekonomi naik, kos sara hidup naik

Barjoyai Bardai ketika muncul sebagai panel Dialog Kuasa Nasional: Adakah Ekonomi Madani Membangunkan Kuasa Nasional di Universiti Kebangsaan Malaysia, (UKM), Bandar Baru Bangi, Selangor pada 19 Ogos 2023.
- Advertisement -

BANGI: Rakyat tetap akan dibebani masalah kos sara hidup yang tinggi biarpun jika ekonomi negara bertambah baik, disebabkan amalan industri hutang yang kekal berleluasa ketika ini di Malaysia.

Pakar ekonomi UNIRAZAK, Prof Barjoyai Bardai berkata, industri hutang yang diamalkan secara berleluasa di negara ini telah menyumbang kepada masalah ekonomi negara sedia ada.

- Advertisement -

“Ekonomi negara ini sendiri kebanyakannya berasaskan ekonomi yang bersifat pinjaman semata-mata.

“Ini menyebabkan negara kita pada hari ini (sekarang) menghadapi pelbagai masalah hutang isi rumah yang semakin meningkat dari semasa ke semasa,” tegasnya.

Tambah beliau, tidak dinafikan bahawa ekonomi negara semakin berkembang pada masa ini tetapi gaji isi rumah masih tidak meningkat seiring dengan perkembangan tersebut.

“Pada masa ini, kita boleh lihat bahawa ekonomi naik sekalipun rakyat tetap menghadapi masalah kenaikan kos sara hidup sehinggakan mereka terpaksa meminjam semata-mata untuk memenuhi keperluan hidup.

“Industri hutang pada ketika ini  telah menyumbang kepada masalah-masalah tersebut kerana mengamalkan kekayaan bersifat eksploitasi terhadap golongan bawahan,” katanya.

Menurut beliau lagi, setiap industri hutang diasaskan oleh golongan Yahudi, yang mana ia bertujuan bukan sahaja untuk membina kekayaan melalui penciptaan wang tetapi juga penciptaan kredit (hutang).

“Ekonomi negara kita pada hari ini digerakkan melalui perbelanjaan yang menyaksikan  pinjaman turut memainkan peranan dalam perkara tersebut dan ini bukanlah berasaskan ekonomi yang sebenar,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel Dialog Kuasa Nasional: Adakah Ekonomi Madani Membangunkan Kuasa Nasional yang berlangsung di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini, baru-baru ini.

Program anjuran Institut Penyelidikan Antara Disiplin dan Strategi Antarabangsa (Institut IRIS itu  turut menampilkan tiga lagi panel yang terdiri daripada Lembaga Pemegang Amanah, Yayasan Strategik Lestari, Dr Zuhdi Marzuki; penganalisis Pusat Polisi Ekonomi (CAPE), Ibrahim Mohd Hasan; dan Pegawai Penyelidik di Jabatan Kajian Institut IRIS, Dr Adilah Zafirah Mohd Suberi.

Program tersebut diadakan bagi membincangkan tentang persoalan mengenai adakah Ekonomi Madani membangunkan kuasa nasional?

Ia adalah susulan beberapa soalan kritikal  terhadap Ekonomi Madani; pertama, adakah Ekonomi  Madani disusun dalam kerangka sebuah wawasan kuasa nasional, atau terhad kepada memajukan sektor ekonomi tanpa melihat keupayaan dalam aspek lain?

Kedua, adakah Ekonomi Madani membawa kepada pengupayaan orang Melayu menjadi bangsa yang berdaulat iaitu beas daripada penentuan kebergantungan kepada pihak lain?

Persoalan ketiga ialah adalah Ekonomi Madani setanding untuk sedia bersaing dalam pembangunan kuasa nasional di negara-negara lain khususnya negara jiran seperti Indonesia, Singapura, dan Vietnam.

Sehubungan itu, mengulas mengenai  kerangka Ekonomi Madani yang diperkenalkan oleh pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menurut Barjoyai, ia bukan model baharu, tetapi sebaliknya dihasilkan berdasarkan Tabung kewangan Dunia (IMF) dan Bank Dunia.

Atas dasar itu, beliau menegaskan kelainan strategi perlu dilakukan segera supaya Ekonomi Madani mencapai matlamatnya.

“Kita tak banyak masa, mungkin hanya tiga tahun lagi sebelum kemelesetan ekonomi yang baharu akan berlaku.

“Sekiranya kita tertinggal, kita terpaksa tunggu mungkin lebih lama iaitu lima tahun akan datang, kerana pada waktu ekonomi meleset kita tak rangka strategi baharu,” hujahnya lagi.

Justeru, beliau  mencadangkan agar institusi wakaf diperkasakan lagi dalam membangunkan pendapatan negara.

“Saya ingin menegaskan pentingnya melakukan perubahan dalam sistem ekonomi Malaysia yang mana institusi-institusi wakaf perlu memainkan peranan dalam pembangunan ekonomi negara ini,” katanya.

Beliau  mengesyorkan supaya Malaysia mencontohi langkah Norway yang mengamalkan konsep berkenaan bagi membantu rakyatnya menerusi sistem perkhidmatan sosial.

“Malaysia banyak (aset) kekayaan seperti Petronas, Khazanah dan Rizab Tanah Melayu yang keseluruhan mempunyai nilai RM1 trilion

“Justeru, kerajaan negeri disarankan agar mewujud dan memperkasakan tabung wakaf dengan menjadikan harta kerajaan untuk kegunaan rakyat yang memerlukannya,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/8/2023

- Advertisement -