
BEIJING: China menuduh seorang kakitangan kerajaan mengintip untuk Amerika Syarikat (AS), insiden pengintipan kedua yang diumumkan dalam tempoh sebulan.
Beijing melaksanakan undang-undang anti-pengintipan yang dipinda bulan lalu yang memberikan kerajaan lebih kuasa berbanding sebelum ini untuk menghukum apa yang dianggap sebagai ancaman kepada keselamatan negara.
Kes yang diumumkan pada hari ini, yang masih dalam siasatan, membabitkan seorang lelaki berusia 39 tahun bernama Hao yang bekerja untuk sebuah kementerian yang tidak dinyatakan, kata Kementerian Keselamatan Negara (MSS) dalam satu kenyataan.
Hao belajar di Jepun apabila berkenalan dengan seorang pekerja kedutaan AS ketika membuat permohonan visa dan membina hubungan rapat dengannya, kata kementerian itu.
Lelaki itu kemudian memperkenalkan Hao kepada rakan sekerjanya yang lain, seorang pegawai Agensi Perisikan Pusat (CIA) yang memujuk Hao mengintip untuk agensi AS itu apabila dia kembali ke China, katanya.
Hao menandatangani kontrak dan menerima latihan AS, sebelum mendapat pekerjaan dalam kerajaan, menurut MSS.
Dia kemudian membuat beberapa hubungan rahsia dengan kakitangan CIA di China untuk menyediakan risikan dan mengutip dana pengintipan hingga aktivitinya diketahui, kata kementerian itu.
Ogos lalu, MSS mengeluarkan butiran yang dikatakan sebagai kes pengintipan CIA melibatkan seorang lelaki berusia 52 tahun bernama Zeng yang memberikan maklumat rahsia untuk mendapatkan wang.
Zeng dihantar ke Itali untuk belajar dan berkawan dengan ejen CIA yang di kedutaan AS di Rom.
Ejen itu meyakinkan Zeng untuk memberikan maklumat sensitif mengenai tentera China sebagai pertukaran untuk sejumlah besar pampasan dan bantuan untuk Zeng dan keluarganya berpindah ke AS, kata MSS.
Pindaan undang-undang anti-pengintipan Beijing menakutkan banyak perniagaan AS yang beroperasi di China ketika hubungan antara kedua negara itu terus menurun.
Mengikut undang-undang baharu itu, bergantung kepada organisasi pengintipan dan ejen mereka serta mendapatkan dokumen, data, bahan dan item yang berkaitan dengan keselamatan dan kepentingan negara tanpa kebenaran boleh menjadi kesalahan pengintipan. – AFP











