
Isu penyelarasan pendaftaran Sekolah Islam Persendirian (SIP) di Selangor menyebabkan HarakahDaily turut terpanggil bagi menemu bual lagi pihak Persatuan Gabungan Sekolah Islam Selangor (GASIS).
Selain sudah menemu bual Pengerusi GASIS, Dr. Nik Noor Azlida Datuk Husain, HarakahDaily turut mendapatkan pandangan Setiausaha Jawatankuasa Bertindak Isu Pendaftaran Sekolah Islam Persendirian (SIP) Selangor GASIS, Ustazah Nor Zarina Mohd Azhar.
Sehubungan itu, beliau juga turut memohon agar penilaian terhadap SIP dibuat secara profesional demi kepentingan pelajar terutama mereka yang terlibat dalam Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) dan Ujian Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA).
Ikuti wawancara wartawan HarakahDaily, MUS’AB MUHAMMAD SUFIAN dengan Nor Zarina. Berikut sedutan temu bual berkenaan.
HARAKAHDAILY: Boleh Puan komen laporan berita tentang sidang media badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam-Melayu Seru Tubuh Kerajaan Ummah Tanpa DAP di Negeri Sembilan dan Selangor di Hotel Tenera, Bangi, Selangor pada 14 Ogos lalu melalui kenyataan Pengerusi Sekretariat NGO ISLAM Selangor, Datuk Nazilah Idris yang berkata, kira-kira 200 sekolah agama di Selangor didakwa mendapat surat amaran untuk keluar dari premis perniagaan.
NOR ZARINA: Saya serta beberapa Sekolah Islam Persendirian (SIP) yang berdaftar di bawah GASIS juga mengetahui apabila tular di media semasa akan sidang media tersebut. Kami tidak menolak kemungkinan ada beberapa buah SIP yang tidak menjadi ahli GASIS menghadapi keadaan yang sama seperti beberapa ahli GASIS berkaitan isu pendaftaran SIP yang tidak diluluskan.
Pada Julai tahun ini, terdapat perjumpaan pihak jawatankuasa bertindak SIP yang terdiri daripada GASIS sendiri bersama beberapa NGO lain dengan (mantan) Exco Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal negeri, Mohd Zawawi Ahmad Mughni, Jabatan Perancang Bandar Dan Desa Negeri Selangor (PLANMalaysia@Selangor) dan dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) serta 12 pihak berkuasa tempatan (PBT); dan hasilnya isu itu dikatakan akan dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN). Apakah perkembangan terkini mengenai perkara itu?
Hasilnya ialah pada 31 Julai 2023, Pengarah PLANMalaysia@Selangor, Khairulzaman Ibrahim telah mengadakan satu pertemuan antara GASIS, JAIS dan pihak PBT untuk membincangkan akan perkara ini terutamanya tindakan PBT kepada sekolah-sekolah yang telah membuat permohonan kelulusan agensi.
Apakah perkembangan terkini tentang tuntutan GASIS supaya memasukkan sekali SIP yang tiada dalam senarai keahlian Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS) – yang dianggotai 478 institusi SIP; ke dalam program pemutihan sekolah agama di negeri Selangor?
PLANMalaysia@Selangor dan beberapa pihak yang terlibat sedang meneliti untuk mewujudkan satu Garis Panduan Pemutihan SIP sepertimana yang pernah dibuat untuk Garis Panduan Pemutihan Tahfiz Selangor sebelum ini.
Apakah status murid tahun 5 dan tahun 6 yang tidak boleh mengambil Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) dan Ujian Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) kerana tiada kelulusan berdaftar SIP?
Pihak JAIS sedang dalam tindakan untuk membantu mempermudahkan pendaftaran murid UPKK dan PSRA yang telah tercicir pendaftaran berikut sijil perakuan sekolah tamat dan tidak boleh diperbaharui.
Ini adalah selari dengan keputusan perjumpaan GASIS dengan mantan Exco Agama (Mohd Zawawi) yang menyarankan agar isu ini perlu diselesaikan untuk murid-murid terap dapat mengambil peperiksaan UPKK dan PSRA.
Terdapat dakwaan isu sekolah-sekolah tahfiz dan SIP ini ada yang bermasalah dari segi fasiliti dan juga pentadbiran, bagaimana ustazah melihat penilaian pihak berkuasa dalam tindakan membendung perkara ini dilakukan secara adil, supaya SIP yang tidak terlibat tidak dinafikan haknya?
Tidak dinafikan, wujud keadaan itu namun ia bukan sejumlah yang besar untuk dinilai ianya adalah keadaan kebanyakan tahfiz atau SIP (di Selangor).
Pihak berkuasa perlu meneliti dengan cermat akan kewujudan SIP yang memohon kelulusan pendaftaran.
Sebahagian daripada SIP ini sangat bersungguh-sungguh mematuhi semua syarat bahkan sehingga terpaksa mencari sumber kewangan sampingan untuk mengadakan semua keperluan yang menjadi syarat kelulusan.
Selain itu, kecekapan dalam memberi tindakbalas, profesional dalam memberi perkhidmatan serta mesra rakyat adalah elemen kerja penting bagi sebuah organisasi yang baik. – HARAKAHDAILY 17/8/2023




















