
KUALA LUMPUR: Ketua Pentadbiran Parlimen Malaysia baharu, Datuk Muhamad Zamani Mohd Ali telah mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang Dipertua (YDP) Dewan Negara, Tan Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan, di sini, hari ini, Wan Junaidi menerima kunjungan tersebut berikutan pelantikan beliau sebagai Ketua Pentadbiran Parlimen Malaysia yang baharu pada 14 Ogos ini.
Wan Junaidi berkata, dalam pertemuan tersebut beliau telah memaklumkan beberapa perkara yang perlu dilaksanakan dalam masa yang terdekat.
Tambah beliau, antara perkara-perkara tersebut ialah pelaksanaan komprehensif Akta Perkhidmatan Parlimen (Parliament Services Act) yang sedang dirangka yang mempunyai ciri-ciri khusus berhubung dengan kebebasan Parlimen di dalam pengurusan Parlimen Malaysia termasuk pengurusan kewangan, sumber manusia dan pelantikan sumber manusia dan belanjawan.
Selain itu, ujarnya, pindaan kepada Akta 347 Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 untuk menambahbaik selaras dengan perkembangan semasa dalam negara; dan pindaan kepada Peraturan Majlis Dewan Negara dan Majlis Dewan Rakyat.
Menurut beliau dalam kenyataan media tersebut, perkara-perkara sebegini perlu dilakukan bagi membentuk reformasi pentadbiran Parlimen Malaysia yang perlu dilakukan segera.
“Saya turut menekankan kepentingan sokongan dan kerjasama dan kesediaan pengurusan dan keseluruhan warga kerja Parlimen Malaysia di dalam merealisasikan rancangan reformasi pentadbiran di Parlimen Malaysia dalam masa yang terdekat ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/8/2023




















