Cadangan sekolah khas golongan miskin tak wajar

Cadangan Anwar Ibrahim tentang hasrat kerajaan memperkenalkan sekolah khas untuk anak-anak golongan paling miskin di negara ini menimbulkan persoalan adakah sekolah-sekolah sedia ada tidak mesra golongan miskin? (GAMBAR HIASAN)
- Advertisement -

Matlamat dan hala tuju pendidikan jelas menunjukkan ke mana arah tujuan pendidikan di negara ini, namun sejak akhir-akhir ini, ia telah menimbulkan persoalan tentang adakah sekolah-sekolah sedia ada di negara tidak mesra golongan miskin?

Kemiskinan sememangnya dilihat sebagai satu faktor yang sedikit merencatkan pencapaian keseluruhan pelajar-pelajar di negara kita dan sekaligus memberi kesan kepada pendidikan negara dalam kedudukan Program Penilaian Antarabangsa (PISA) di peringkat global.  

- Advertisement -

Sehubungan itu, Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada 5 Ogos lalu telah mengumumkan kerajaan berhasrat memperkenalkan sekolah khas untuk anak-anak golongan paling miskin di negara ini supaya mereka tidak tertinggal dalam arus perdana pendidikan

Sehari kemudian, respons yang sama telah diberikan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek terhadap isu ini dengan mengulas lanjut tentang hala tuju serta mekanisme yang jelas dalam menubuhkan sekolah khas untuk miskin tegar di negara ini.  

Menurut Fadhlina, Kementerian Pendidikan (KPM) akan berusaha sedaya upaya memastikan sekolah khas untuk pelajar daripada golongan miskin dapat dibuka dan beroperasi pada tahun depan.

Operasi sekolah khas itu, katanya, antara lain akan mempunyai hala tuju serta mekanisme yang jelas dalam usaha memastikan pelaksanaan ia benar-benar berjaya bagi meningkatkan taraf pendidikan anak-anak golongan miskin.

Persoalannya, benarkah sekolah-sekolah sedia ada sekarang tidak mesra golongan miskin; dan atas dasar apakah pula mahu ditubuhkan lagi sekolah khas untuk golongan miskin? 

Ekonomi tak menentu, kos lebih besar 

Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, seharusnya kita memikirkan untuk menaik taraf sekolah atas keperluan pendidikan yang lebih baik, berbanding menubuhkan sekolah baharu yang sudah tentu memerlukan kos yang lebih besar. 

Saya amat menyokong dasar kerajaan yang cakna kepada golongan miskin tegar bagi mendapatkan pendidikan yang baik; namun, matlamat untuk menyediakan sekolah khas untuk golongan ini dilihat tidak wajar. 

KPM seharusnya memberi fokus kepada bagaimana untuk membantu pelajar daripada golongan miskin untuk tidak tercicir daripada arus perdana dan bukannya untuk melabur lebih banyak wang untuk menubuhkan sekolah khas untuk golongan ini.  

Polemik yang timbul adalah berkisar tentang isu  ‘pendidikan atau sekolah’ yang perlu diutamakan bagi membantu golongan tersebut. 

Mekanisme apa yang menjadi hala tuju untuk membantu mereka jika matlamat yang dicanang lebih kepada menggunakan sejumlah kos yang lebih besar untuk pembinaan sekolah khas tersebut; sedangkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM) jelas menunjukkan aspirasi sistem pendidikan kepada akses pendidikan, kualiti standard antarabangsa yang tinggi, ekuiti untuk semua murid, memupuk perpaduan dalam kalangan murid dan pelaksanaan berkecekapan tinggi. 

Sekolah sedia ada sudah cukup

Sekolah yang sedia ada sudah cukup untuk melahirkan generasi cemerlang, cuma ia  perlu dinaik taraf dan dimurnikan sedikit sahaja lagi bagi memenuhi aspirasi negara. 

Justeru, keperluan membina sekolah khas bukan matlamat yang perlu diutamakan tetapi bagaimana sistem pendidikan dan sekolah sekarang dibaik pulih dan dinaiktaraf menjadi lebih baik dan dalam masa yang sama tumpuan diberikan bagi membantu golongan miskin dalam mendapatkan pendidikan dengan sistem sokongan yang padu daripada KPM. 

Jika dilihat kepada miskin tegar pada masa sekarang, kebanyakkan mereka adalah dalam kalangan yang tinggal di bandar. 

Jika dahulu, golongan miskin tegar merujuk kepada penduduk  yang tinggal di luar bandar dengan pendapatan isi rumah di bawah RM2,000 tetapi senario telah berubah kerana dengan pendapatan isi rumah RM4,000 hingga RM6,000, dan jumlah tanggungan anak seramai lima orang, ia masih diklasifikasikan sebagai miskin tegar. 

Statistik yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia 2022, seramai 3.16 juta isi rumah di Malaysia mempunyai pendapatan di bawah RM5,250.00. 

Mekanisme apakah yang akan digunakan oleh kerajaan dalam menangani masalah miskin tegar ini? 

Bukan keputusan yang bernas

Apakah membina sekolah khas dapat membantu golongan miskin ini atau menggunakan bajet sedia ada dengan membantu mereka daripada segi ekonomi (tawaran biasiswa atau biaya bulanan) bagi mereka tidak terus tercicir daripada arus pendidikan?

Justeru, KPM harus mempunyai pendirian yang lebih berfokus dalam melaksanakan program untuk meningkatkan kualiti pendidikan, bukannya secara drastik memutuskan sesuatu yang tidak perlu, malah keperluan membina sekolah khas yang baharu bukanlah satu keputusan yang bernas. 

Jika benar KPM ingin membantu golongan miskin untuk mendapatkan pendidikan yang lebih berkualiti, mereka perlu disantuni daripada akar umbi. 

Kajian berkaitan golongan ini juga perlu dilaksanakan dan hasilnya nanti dapat membantu mereka atas keperluan yang lebih berfokus. 

Kadangkala mereka memerlukan sokongan moral yang berpanjangan agar mereka dapat keluar daripada kepompong kemiskinan, dan KPM secara tidak langsung dapat membantu dengan menyediakan keperluan asas bagi golongan ini. 

Apa pun keputusan kerajaan mahupun KPM, matlamat membantu golongan miskin untuk terus mendapatkan pendidikan tetap disanjung tinggi. 

Cuma bentuk tindakan yang bagaimana seharusnya diambil dalam menangani masalah ini perlu diberi penelitian yang mendalam. 

Terutamanya dalam memastikan KPM terus berjaya melahirkan modal insan yang cemerlang dalam kepelbagaian latar belakang melalui pendidikan, dan selanjutnya memenuhi keperluan modal insan negara.

Dr Abd Razak Zakaria ialah Pengarah, Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Keluarga Universiti Malaya (UMFRDC). Beliau boleh dihubungi di e-mel: [email protected]


PENAFIAN:HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -