
PENGKALAN CHEPA: Calon PERIKATAN NASIONAL PRN N.07 Panchor, Dato’ Mohd Amar Nik Abdullah dilihat fokus kepada tugas biasanya sepanjang dua minggu tempoh kempen PRN kali ini.
Beliau yang kali ketujuh ditampilkan sebagai calon pilihan raya, memenuhi waktu dalam fasa ini seperti rutin harian selalu dilaluinya tanpa ada atau mengatur sebarang jadual luar dari kebiasaan.
Beliau solat di masjid sama dan menguruskan semua kerja atau tanggungjawabnya kepada rakyat, termasuk melakukan ziarah tetap beliau ke atas penduduk yang memerlukan perhatian.
Hanya sedikit berbeza adalah beliau mengadakan lawatan menyantuni anggota jentera para petugas PRN bagi memastikan perjalanan pesta demokrasi kali ini lancar dan mengikut perancangan telah ditetapkan.
Dato’ Mohd Amar bagaimanapun terpaksa mengelak masuk ke kedai kopi seperti kebiasaannya memandangkan peraturan yang melarang pemberian sumbangan atau belanja makan atau pembiayaan.
Malah, bagi mengelakkan salah faham yang boleh timbul seperti dakwaan atau tuduhan berkempen, beliau telah membatalkan semua jadual kuliah sepanjang tempoh ini hingga ia berakhir nanti.
Bagaimanapun Dato’ Mohd Amar tetap mendapat perhatian dan diikuti ramai dari aktivitinya yang disiarkan menerusi pelbagai platform media sosial hasil inisiatif para petugas media beliau.
Dimaklumkan, penghasilan kandungan-kandungan tersebut dibuat oleh pasukan media Dato’ Amar menggunakan peranti paling minimum iaitu telefon pintar dan bukannya peralatan khusus. – HARAKAHDAILY 11/8/2023




















