
POKOK SENA: Sejak 2020 hingga Mei 2023 sebanyak RM15,000 dibelanjakan bagi membeli kerusi roda dan katil untuk pesakit yang memerlukan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Lada.
Penyandang DUN berkenaan Ustaz Salim Mahmood berkata, pihaknya menyediakan perkhidmatan tersebut bagi membantu penduduk yang tidak mampu membeli kemudahan terbabit.
“Ramai warga DUN Bukit Lada yang diuji dengan penyakit. Alhamdulillah kami menyediakan katil pesakit dan kerusi roda secara wakaf.
“Apabila pesakit terbabit sudah sihat atau tidak memerlukan lagi, kita akan bagi kepada pesakit lain pula,” katanya ketika ditemui ketika jelajah kempen hari ini.
Kempen hari ke-13 diteruskan dengan merayu undi penduduk kaum Tionghua di Tanjung Musang bersama Pasukan Kempen Isteri Calon.
Penduduk Cina menerima baik kunjungan Ustaz Salim. Beliau dibantu
seorang penterjemah dari muslimat yang petah berbahasa mandarin.
Salim juga berkata, kerajaan negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM101,145 bagi membantu Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) menganjur program dan bantuan kewangan di sekolah-sekolah di DUN Bukit Lada.
“Sumbangan kepada pelajar diadakan dengan kerjasama PIBG di sekolah-sekolah terbabit di DUN berkenaan,” katanya.
Salim juga berkata, semua penduduk layak menerima bantuan kebajikan yang ditawarkan kerajaan negeri termasuk khairat kematian juga diberi kepada kepada penduduk bukan Islam sebanyak RM500. – HARAKAHDAILY 10/8/2023




















