Ulama pondok pertahan kerajaan Kelantan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Seorang ulama terkenal di Kelantan menasihatkan anak-anak perantauan pulang ke kampung halaman masing-masing menunaikan tangggungjawab sebagai pemilih.

- Advertisement -

Bekas Mudir Pondok Kandis Tuan Guru Syeikh Wazir Che Awang berkata, perantau usah berkira mengenai masa, wang dan tenaga yang habis semata-mata untuk pulang mengundi.

Katanya, semua rakyat yang berfikiran waras mesti mempertahankan kerajaan negeri yang ada pada hari ini selagi tidak bercanggah dengan kehendak agama.

“Banyak aktiviti dan program yang dilaksanakan kerajaan negeri di bawah kepimpinan ulama sekarang sejak penggal pemerintahan lalu menepati kehendak syariat Islam.

“Kita pakat undi PAS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) esok, mari kita pakat pertahankan kerajaan yang ada sekarang atas dasar Membangun Bersama Islam.

“Mudah-mudahan perbelanjaan yang kita guna untuk balik dan pergi digandakan oleh Allah rezeki di dunia dan akhirat,” katanya ketika ditemui selepas pembentangan resolusi ulama pondok di Pondok Pasir Tumboh petang semalam.

Syeikh Wazir juga berkata, PAS Kelantan kali ini dilihat lebih kuat berbanding beberapa pilihan raya lepas, walaupun ada seorang ustaz pondok menjadi calon bebas.

“Walaupun ada segelintir guru pondok memihak sebelah sana tetapi kita sebahagian besar ulama tetap bersama PAS.

“Begitu juga kumpulan pengundi 18 tahun didapati mereka juga bersama ulama pondok bagi mempertahankan kerajaan PAS,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/8/2023

- Advertisement -