
Juara Jerman, Bayern Munich dilaporkan mencapai perjanjian dengan Tottenham Hotspur untuk perpindahan kapten England, Harry Kane.
Bayern yang tidak mengulas mengenai laporan media Jerman dan Inggeris, telah cuba menandatangani penyerang itu selama berbulan-bulan dengan perjanjian bernilai kira-kira 100 juta Euro (AS$110.19 juta).
Jika perjanjian itu dimeterai, ia akan menjadi perpindahan terbesar dalam sejarah Bundesliga. Media Jerman melaporkan kelab sedang menyediakan kontrak, tetapi pemain itu masih perlu lulus ujian perubatan di Munich.
Laman web Athletic melaporkan kini terpulang kepada Kane, yang mempunyai satu tahun lagi dalam perjanjian Tottenham, untuk menerima tawaran kelab Jerman itu.
Bayern memulakan musim mereka pada Sabtu ini dengan Piala Super Jerman menentang RB Leipzig. Bundesliga bermula minggu depan dengan Bayern berdepan Werder Bremen pada 18 Ogos. – REUTERS











