
KUALA LUMPUR: “PAS bukan sekadar parti politik, malah mengangkat nilai Islam dalam berpolitik.”
Itu pandangan dari buah fikiran Presiden Pribumi Perkasa Negara (PERKASA), Syed Hassan Syed Ali yang menegaskan bahawa PAS adalah satu-satunya parti yang paling menyerlah dalam mengangkat Islam dan politik sebagai satu perkara seiring.
Menurutnya, ajaran parti PAS tidak hanya terikat dengan berpolitik semata-mata, namun ia juga menekankan aspek tarbiyah atau pendidikan Islam.
“Dulu orang tidak nampak, saya juga tidak nampak. Kebelakangan ini sejak saya rapat dengan kepimpinan PAS, kita boleh lihat aktiviti-aktiviti mereka bukan hanya parti politik, (tetapi) mereka berjaya membuktikan politik dalam Islam itu memang ada, dan politik itu tidak boleh dipisahkan dengan Islam (malah) mereka boleh membuktikan islam itu (adalah satu cara hidup).”
“Contoh yang terdekat saya lihat apabila PAS Negeri Sembilan dipertanggungjawabkan untuk menjadi urusetia bagi pengumuman calon PRN, mereka aturkan program itu bermula selepas maghrib, supaya orang ramai yang berpolitik tidak lupa amal ibadat, malah menukar dewan tersebut menjadi ruang solat untuk orang ramai seolah-olah seperti surau. Kalau dilihat parti-parti lain, pandai-pandailah (peserta) cari surau di mana-mana.
Beliau berkata demikian dalam temu bual eksklusif bersama HarakahDaily di pejabat PERKASA, di sini, semalam.
Tambah beliau, begitu juga jika merujuk kepada ahli PAS sendiri, terutamanya Muslimat, melalui pendekatan dakwah dan tarbiyah, mereka berpakaian seperti mana yang dituntut oleh Islam.
“(Mereka) tetap boleh berpolitik, boleh berhimpun, boleh pergi ke majlis penamaan calon, angkat bendera, tak ada masalah, dengan pakaian yang mengikut syariah.
“Ini yang kita lihat, bukan tak boleh berpolitik, bukan perlu pisahkan politik dengan agama. Pas buktikan perkara itu boleh berlaku.
“Kenapa mesti pergi perhimpunan,wanita-wanitanya mesti berpakaian “jeans” atau sebagainya tetapi bertudung, yang mana tidak mengikut ciri-ciri yang dikehendaki oleh Islam, (terutama) dari segi auratnya, pergaulannya,” katanya.
“Jadi, saya lihat perkara ini perlu ditanamkan kepada semua umat islam di negara ini, yang nak berpolitik sila berpolitik, tetapi akidah dan pematuhan syariat islam mesti diperkasakan,” tambah beliau.
Sehubungan itu, menjelang PRN 2023 pada 12 Ogos ini, beliau berharap pengundi terutama orang Melayu dan Islam agar beramai-ramai keluar mengundi.
“Undilah PERIKATAN NASIONAL demi kepentingan, kuasa politik, tanah air dan masa depan Melayu dan Islam di negara ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/8/2023




















