
ALOR SETAR: PERIKATAN NASIONAL (PN) Kedah tidak dibenarkan menggunakan agensi kerajaan untuk berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-15.
Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, PN tidak menjejaki pemimpin PH-BN yang didapati menggunakan segala agensi kerajaan untuk ‘merenyuk’ PN Kedah.
“Menteri-menteri PH yang datang Kedah sedangkan mereka tidak bertanding dalam PRN. Contohnya Menteri KDN kalau dia buat salah apa pun dalam tempoh kempen ini tidak menimbulkan apa-apa risiko.
“Tetapi saya bertanding dalam pilihan raya,” katanya pada Program Mai Sat bersama Menteri Besar di Gelanggang Sepak Raga Tuju Taman Tunku Yaakob di sini petang semalam.
Sanusi berkata, kerakusan PH-BN mahu menjatuhkan PN di Kedah sehingga beberapa pegawai termasuk Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri dipanggil Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) diambil keterangan.
“Saya hairan apa tujuan mereka mengambil hasil siasatan agensi jabatan. Kemudian ‘lempaq’ kepada orang ramai, lepas tu suruh kita jawab.
“Semalam Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) dipanggil untuk memberi keterangan. Nak cari modal untuk ‘hayun’ ketika kempen pilihan raya,” tambahnya.
Menurutnya pendekatan yang diambil pemimpin kerajaan Pusat semata-mata bagi mencetuskan pecah belah dan keraguan rakyat terhadap kerajaan negeri.
Sikap demikian kata beliau menunjukkan PH bukan sahaja tidak layak menjadi menerajui kerajaan Kedah, malah pincang mentadbir kerajaan persekutuan. – HARAKAHDAILY 9/3/2023











