Beri penghormatan, kemudahan untuk ketua adat

- Advertisement -

SEREMBAN: Ketua-ketua adat yang mentadbir urusan hal ehwal adat perlu diberi kemudahan yang sesuai dengan taraf mereka, kata Timbalan Pengerusi PERIKATAN NASIONAL Negeri Sembilan, Cikgu Rafiei Mustapha.

- Advertisement -

Menurut beliau, ini adalah kerana ketua-ketua adat merupakan satu kumpulan yang penting dalam masyarakat negeri ini yang menguruskan soal tanah, nikah kahwin dan kekeluargaan.

“Ketua-ketua adat ini sebenarnya mereka ini sentiasa berhubung, berurusan dengan anak buah. Terutama sekali bila tiba bab soal nikah kahwin; soal nak tukar tanah; nak jual beli tanah.

“Semua ini sepatutnya dimainkan oleh ketua-ketua adat, buapaknya dan seterusnya,” ujarnya yang merupakan calon PERIKATAN NASIONAL bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pilah.

Beliau berkata demikian semasa ditemuramah di dalam program Bual Bicara PRN N9 yang berlangsung di studio PERIKATAN NASIONAL Negeri Sembilan dan disiarkan secara langsung dalam talian petang tadi.

Tambah beliau, sudah sepatutnya keselesaan mereka dalam menjalankan tugas perlu diberi perhatian kerana Pilah ini adalah termasuk dalam ‘Tanah Luak Mengandung’. 

“Maknanya ketua-ketua adat, mereka merupakan satu kumpulan yang penting dalam masyarakat. Yang sepatutnya mereka ini seharusnya diberikan suatu kedudukan yang sepadan dengan status mereka dalam adat.

“Tapi, ini antara keluhan yang disampaikan secara terus terang kepada saya mengatakan bahawa mereka memang tidak rasa gembira. Malah tidak berpuas hati dengan nasib yang mereka alami sampai sekarang ini,” ujar beliau.

Menurut Cikgu Rafiei, antara yang perlu diberi perhatian termasuklah dari segi dari segi elaun-elaun Ketua-ketua Adat dan juga dari segi dari segi kemudahan yang diberi kepada mereka untuk berurusan dengan dengan anak-anak buah.

“Ketua-ketua adat ini sebenarnya mereka ini sentiasa berhubung, berurusan dengan anak buah. Terutama sekali bila tiba bab soal nikah kahwin; soal nak tukar tanah; nak jual beli tanah, semua ini sepatutnya dimainkan oleh ketua-ketua adat, buapaknya dan seterusnya.

“Yang mereka rasa agak kurang berpuas hati ini ialah sepatutnya apalah salahnya kalau kita letakkan mungkin pejabat di pejabat daerah, adalah satu bahagian khas untuk ketua-ketua adat ini untuk mereka berurusan dengan anak-anak buahnya,” ujarnya.

Dengan adanya pejabat khas untuk mereka, menurut beliau, ia akan membolehkan anak-anak buah mereka datang berurusan dengan mereka secara rasmi.

“Dengan itu nampak bahawa kita memberikan satu penghormatan kepada ketua-ketua adat ini. Dan selaras dengan adat sebab di Negeri Sembilan ini khususnya di Kuala Pilah ini Adat Perpatih ini masih lagi diamalkan, masih lagi kuat, masih lagi dipegang,” katanya lagi.

Kata Cikgu Rafiei, beliau melihat bahawa perkara ini menjadi keresahan kepada ketua-ketua adat ini yang menyebabkan mereka berasa seolah-olah mereka ini langsung tidak diberi perhatian dan terabai. – HARAKAHDAILY 9/8/2023

- Advertisement -