
KUALA LUMPUR: Peluang Debat Model Baharu Ekonomi Malaysia ternyata gagal dipersembahkan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli sepanjang sejam setengah program tersebut bersiaran mulai jam 9.30 malam ini.
Berbeza dengan ahli parlimen Bachok Shahir Sulaiman menawarkan model ekonomi yang berteraskan kestabilan yang siap dengan rangka rumah.
Biar pun gimik sebelum debat berlangsung cuba memperlihatkan kehebatan Menteri Ekonomi, namun ramai menyifatkan sebagai retorik kerana gagal mempersembahkan model yang diharapkan rakyat.
Sebaliknya Rafizi dalam banyak situasi terperangkap apabila Shahir mengulangkan kenyataan lama menteri terbabit, tidak boleh orang yang sama menerajui dua kementerian seperti yang diamalkan Kerajaan Madani sekarang.
Biarpun berputar dengan menyebut Menteri Ekonomi diberi kuasa meluluskan projek berbanding Menteri Kewangan, namun realiti yang berlaku tidak begitu.
Kata Rafizi, Shahir tidak tahu Menteri Kewangan lebih rendah kuasa bagi mengawal projek kerajaan kerana dipindahkan kepada Menteri Ekonomi.
Namun realiti yang berlaku sekarang ke mana sahaja Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pergi, beliau yang mengumumkan projek, dan tidak kelihatan Menteri Ekonomi bertindak begitu.
Mereka yang mengikuti debat secara langsung di RTM1 membayangkan Rafizi bercakap tidak serupa bikin, seakan menyembunyi konflik yang berlaku dalam kabinet Kerajaan Madani sekarang.
Sebaliknya Shahir menggunakan ruang debat secara langsung tersebut memutar semula kejayaan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat mempraktikkan model ekonomi seperti yang terkandung dalam al Quran.
“Tok Guru membuat keputusan memindahkan wang kerajaan negeri ke Bank Islam tanpa mesyuarat kerana Islam secara jelas menegah amalan riba,” katanya.
Debat tersebut dikendalikan dua moderator diadakan empat pusingan.
Kesimpulannya Rafizi seperti tiada persediaan bagi mengetengahkan model ekonomi yang menjadi tajuk debat, sebaliknya hujahnya penuh elemen politik. – HARAKAHDAILY 9/8/2023











