Model kapal layar PN jadi daya tarikan

Orang ramai mengambil peluang bergambar di atas model kapal layar PERIKATAN NASIONAL di Kampung Carok Kudung, Belantik, Sik, Kedah.
- Advertisement -

SIK: Model kapal layar berlambangkan PERIKATAN NASIONAL (PN) menjadi daya tarikan orang ramai sama ada dalam mahupun luar Kedah.

Terletak di Kampung Carok Kudung, Belantik, model yang lengkap sepertimana kapal layar sebenar itu dibina dengan tenaga hampir 20 tukang rumah yang terdiri daripada anak-anak muda berkemahiran di kampung tersebut

- Advertisement -

Setiausaha PAS Cawangan Carok Kudung, Zaki Abd Aziz berkata, idea untuk membina model kapal layar itu datang secara spontan ketika berbual dengan kawan-kawan di tepi jalan.

“Pada awalnya tiada perbincangan khusus, cuma idea datang ketika bersembang dengan kawan-kawan. 

“Apabila pakat (semua) setuju, kami kemukakan idea itu dalam mesyuarat PAS cawangan,” jelasnya ketika ditemui HarakahDaily, di sini, hari ini. 

Menurut Zaki, pada awalnya model kapal layar itu dibuat dalam saiz yang kecil sahaja selepas pembubaran parlimen tahun lepas, namun untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini, ia dibina lebih besar lagi.

Model kapal layar PERIKATAN NASIONAL ini dikunjungi 1,000 pelawat pada setiap hari.

Dalam merealisasikan pembinaan model kapal berkenaan, pihaknya menggunakan 170 batang buluh, 30 kilo paku berukuran panjang enam inci termasuk berkilo-kilo paku kecil dan mengambil masa dua minggu untuk menyiapkannya. 

“Setiap hari lebih 1,000 orang datang berkunjung dan setakat ini lebih 3,000 orang yang datang,” jelasnya sambil menambah bahawa model kapal layar itu mampu memuatkan antara 50 hingga 60 orang dalam satu masa. 

Selain calon PN Belantik, Ahmad Sulaiman, antara pemimpin PN lain yang pernah hadir mengunjungi model kapal layar tersebut ialah Ahli Parlimen Sik, Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman dan Ahli Parlimen Jerantut, Ir. Ts. Khairil Nizam Khirudin. 

“Sumbangan yang dihulur oleh pelawat model kapal layar berkenaan akan dimasukkan ke tabung cawangan PAS berkenaan,” katanya sambil menyatakan bahawa waktu lawatan bermula dari pagi hingga tengah malam setiap hari. – HARAKAHDAILY 8/8/2023

- Advertisement -