
AMPANG: Masalah kos sara hidup akan jadi perkara pertama yang bakal diuruskan jika calon PERIKATAN NASIONAL menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa.
Timbalan Pengerusi Biro Perundangan dan Perlembagaan Perikatan Nasional (PN), Sasha Lyna Abdul Latif berkata, kos sara hidup pada masa ini semakin tinggi yang menyebabkan peningkatan dalam jumlah golongan miskin bandar.
“Maka, kami (PERIKATAN NASIONAL) akan membantu golongan-golongan sebegini dan pada masa sama menambahkan lagi peluang pekerjaan dalam menghadapi isu sedemikian,” katanya ketika ditemui HarakahDaily, di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang yang merupakan lokasi pengundian awal PRN pada hari ini.
Beliau menyatakan telah turun padang ke sebahagian kawasan perkampungan Melayu, yang mana penduduk di situ meminta beliau untuk mengadakan aktiviti-aktiviti untuk golongan muda jika beliau menang dalam PRN menjelang 12 Ogos ini.
“Memandangkan terdapat 19 kawasan yang ada dalam sekitar Ampang, maka kami (PN) akan mengadakan pertandingan sukan tahunan untuk golongan muda supaya mereka ada aktiviti sosial daripada tidak membuat apa-apa,” ujarnya.
Beliau menyatakan langkah sebegini adalah sesuai dengan satu daripada tawaran PN iaitu menaikkan taraf sukan di negeri Selangor.

Menyentuh tentang pengundi-pengundi bukan Melayu, beliau menyatakan bahawa mereka juga akan mendapat bantuan yang sama sekiranya beliau dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa.
“Biasanya golongan bukan Melayu melihat kita banyak memberikan bantuan kepada orang-orang Melayu kerana adanya institusi seperti zakat, baitulmal dan seumpamanya,
“Maka, saya akan kumpulkan persatuan-persatuan yang ada di Bukit Antarabangsa untuk membuat tabung kebajikan supaya bantuan kewangan juga dapat disalurkan kepada golongan bukan Melayu,” tegasnya.
“Dengan cara sebegini membuktikan bahawa PN bersifat adil dan saksama kepada bukan sahaja golongan Melayu tetapi juga terhadap golongan bukan Melayu,” jelasnya.
Pada PRN 2023 pada 12 Ogos ini, Sasha Lyna bakal berdepan dengan calon Pakatan Harapan (PH), Mohd Kamri Kamarudin dan calon MUDA, Melanie Ting.
“Saya berharap semakin ramai akan mengundi PN dalam PRN kali ini supaya kami dapat bantu dalam memperbaiki kehidupan ramai rakyat Selangor memandangkan kami mempunyai rekod yang bersih dan adil,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/8/2023




















