Penambahbaikan untuk penjawat awam yang dinantikan

- Advertisement -

KHABARNYA sehari dua ini akan ada pengumuman berhubung penambahbaikan gaji penjawat awam. Walaupun ia tentu sekali akan dianggap sebagai gula-gula pilihan raya sebagaimana yang disebut sendiri oleh YB Rafizi Ramli pada tahun 2018, namun jika ia mempunyai manfaat kepada penjawat awam, kita sambut baik.

Asalkan ia membawa kebaikan dan meringankan beban rakyat yang sangat tertekan pada hari ini, kita alu-alukan langkah kerajaan walaupun kerajaan sendiri mendakwa bahawa hutang negara tidak membenarkan kerajaan melakukan banyak inisiatif (sebagaimana yang diulang-ulang setelah PH memerintah pada tahun 2018).

Nah, lima perkara asas yang menjadi impian penjawat awam:

1. Semakan semula gaji dan penyelarasan pencen penjawat awam. Kali terakhir kadar gaji penjawat awam dinaikkan adalah pada tahun 2013 iaitu 10 tahun lalu yang melibatkan  pemberian kepada semua penjawat awam faedah pemindahan gaji sebanyak satu kenaikan gaji tahunan (KGT) mulai 1 Julai 2013, melibatkan  kenaikan antara RM80 hingga RM320. Kerajaan sewajarnya bersedia untuk menaikkan gaji penjawat awam dengan pelaksanaan kenaikan kadar gaji 8 peratus bagi gred 40 dan ke bawah dan 5 peratus bagi gred 41 hingga gred 54. Kadar minimum kenaikan kadar gaji yang ditetapkan adalah sebanyak RM200. Perubahan kadar gaji ini juga akan turut melibatkan penyelarasan pencen pesara yang akan menikmati pencen bulanan  yang lebih baik. 

2. Memperkenalkan Elaun Tanggungan berdasarkan bilangan isi rumah. Kenaikan kos sara hidup kesannya berbeza berdasarkan kepada bilangan tanggungan. Dalam erti kata yang lain, lebih ramai tanggungan akan meningkatkan lagi kos sara hidup isi rumah. Sebagai contoh, sebagaimana yang dilaporkan baru-baru ini, wang saku sekolah anak pada ketika ini boleh mencecah sehingga RM10 ke RM15 sehari disebabkan oleh kenaikan kos bahan mentah makanan yang menyebabkan harga makanan di kantin turut naik. Semakin ramai anak yang bersekolah semakin tinggi perbelanjaan yang diperlukan. Elaun tanggungan ini diperkenalkan berdasarkan kepada bilangan tanggungan isi rumah khususnya mereka yang mempunyai anak di bawah umur 21 tahun. Kadarnya akan ditetapkan dan dimaklumkan selepas mengambil kira dapatan kajian kesan kenaikan kos sara hidup terhadap isi rumah. Pelaksanaan elaun ini akan bermula pada 1 Januari 2024. 

3. Tambahan sebanyak RM100 Elaun Cola bagi penjawat awam yang berkhidmat di kawasan bandar bagi menampung kenaikan kos sara hidup yang lebih terkesan di kawasan bandar.

4. Imbuhan Tetap Perumahan (ITP) diberikan sepenuhnya kepada Penjawat Awam walaupun masih menduduki kuarters kerajaan. Pada ketika ini, pegawai yang menduduki kuarters layak menerima bayaran ITP pada kadar 25 peratus daripada kelayakan gred pegawai. Dengan pembayaran penuh ITP kepada mereka yang mendiami kuarters ini, akan dapat mengelak daripada sebahagian kuarters kerajaan ditinggalkan kosong dan seterusnya mengelak pembaziran.

5. Kadar faedah pembiayaan LPPSA diturunkan daripada 4 peratus kepada 3 peratus dan insuran kediaman atau takaful diberi pilihan bayaran secara berasingan dan tidak perlu diwajibkan di dalam keperluan pinjaman sepertimana yang diamalkan oleh sebahagian bank pada ketika ini bagi menggalakkan lebih ramai penjawat awam memiliki rumah. 

Bagi pembiayaan kedua, jumlah pembiayaan yang diberikan adalah pada jumlah pembiayaan penuh mengikut kelayakan penjawat awam tanpa mengambil kira jumlah pembiayaan pertama. 

Sebagai tambahan, peranan Cagamas sebagai pemegang risiko mortgage pembiayaan perumahan Kerajaan diberi mandat supaya berperanan lebih berkesan di dalam mengurus risiko pembiayaan perumahan LPPSA. Sekali gus akan memberi ruang yang lebih selesa kepada LPPSA meneliti dan memperbaiki fasiliti sedia ada kepada penjawat awam, termasuk kadar pinjaman yang lebih rendah, munasabah dan berpatutan.

Inilah lima perkara yang boleh difokuskan oleh kerajaan dalam isu penjawat awam pada hari ini. Tentu ada penyokong kerajaan yang bertanya, bagaimana dengan pendapatan kerajaan untuk membolehkan kelima-lima perkara ini dilaksanakan? Apakah dia implikasi kos yang terpaksa ditanggung? Saudara, ini ialah respon awal untuk pengumuman yang akan dilakukan oleh kerajaan, sekurang-kurangnya pertimbangkanlah.

Hakikatnya implikasi kos dan sumber pendapatan pun tidak dinyatakan sewaktu mereka membentangkan manifesto khas untuk Kelantan. Contohnya apakah mengecualikan caj parking di Kelantan (yang tidak diberikan pun di negeri Selangor yang berpendapatan tinggi) tidak melibatkan kos?

Semoga yang terbaik untuk penjawat awam sekalian. Makanlah umpannya, jangan ditelan kailnya.

YB USTAZ AHMAD FADHLI SHAARI
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS MalaysiaHARAKAHDAILY 7/8/2023

- Advertisement -
- Advertisement -