Semoga rakyat Malaysia bebas daripada judi, arak

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) berharap semoga suatu hari nanti semua rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan kaum dapat bebas daripada budaya jijik judi dan arak.

Sehubungan itu, Pengerusinya, Mohd Zai Mustafa menyokong penuh usaha dan tindakan Kerajaan Kedah memutuskan supaya pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak akan memperbaharui lesen premis menjual nombor ekor (judi) di negeri itu.

Selain keputusan penjualan terbuka menjual minuman arak dihadkan kepada kawasan yang tertentu sahaja di luar bandar, kawasan yang tidak ada keperluan kepada permintaan arak juga dihadkan.

- Advertisement -

Menurutnya, arak dan judi merupakan perkara yang diharamkan oleh Islam kepada penganutnya, malah ia juga adalah bertentangan dengan ajaran dan budaya agama lain mahupun bangsa.

“Budaya minum arak dan judi bukan budaya kepada bangsa dan agama tetapi ia adalah budaya peminum dan kaki judi.

“Ia adalah penyakit kepada sosial masyarakat yang merugikan negara dan akan menimbulkan kemudharatan kepada pihak awam seperti kemalangan dan keganasan kepada keluarga,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Zai berkata, UMMAH turut menyokong pertanyaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad kepada wartawan wanita bukan Islam yang bertanya beliau sebagai jawapan kepada soalan yang dikemukaka, “adakah anda bersetuju suami anda berjudi?”.

Katanya, sudah pasti semua wanita tanpa mengira agama dan bangsa mereka.tidak suka suami mereka berjudi dan mabuk kerana akan menyusahkan mereka

“Sewajarnya semua pihak tanpa mengira agama, bangsa dan juga parti politik seharusnya berganding bahu mengekang budaya judi dan arak kerana ia adalah perbuatan yang membawa kepada kemudaratan kepada akal, nyawa dan harta.

“Negara juga akan kerugian jika memiliki masyarakat yang suka berjudi dan minum arak kerana ini akan merencatkan pembangunan ekonomi dan manusiawi,” katanya.

“Sewajarnya kerajaan menggiatkan lagi kempen kesedaran dengan pelbagai usaha bagi memberi kesedaran kepada rakyat tentang bahaya dan mudarat menjadi kaki judi dan juga pemabuk arak,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/11/2021

- Advertisement -