
KUALA TERENGGANU: Meletakkan syarat peruntukan akan disalurkan jika kerajaan negeri dan Persekutuan daripada parti yang sama merupakan suatu pencabulan demokrasi dan penafian hak yang nyata.
Menurut Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Alias Razak, Umno-PH dalam kempennya mengatakan kerajaan negeri dan Persekutuan yang mempunyai aspirasi politik yang sama untuk peruntukan dan pembangunan akan sampai ke Terengganu adalah hujah yang amat lemah.
Ini kerana, katanya, Terengganu adalah salah sebuah negeri yang membentuk Persekutuan dan hubungan ini dijamin oleh asas Perlembagaan yang kukuh.
“Pemberian Persekutuan kepada negeri juga sudah pun termaktub dalam Perlembangaan Persekutuan ini.
“Secara umumnya Terengganu menerima 10 jenis pemberian daripada Persekutuan yang kesemuanya berjumlah sekitar RM400 juta setahun.
“Pemberian in termasuklah pemberian penyelenggaraan jalan negeri; pemberian di bawah senarai bersama, pemberian berdasarkan tahap pembangunan ekonomi, infrastruktur dan kesejahteraan hidup; geran tahunan kepada pihak berkuasa tempatan (GTBKK), dan pemberian mengikut bilangan penduduk,” katanya pada sidang media di Pusat Media PAS Terengganu, di sini, hari ini.
Secara demokrasinya pula, kata Dr Alias, tidak disyaratkan sedemikian (kerajaan sama parti di peringkat negeri dan Persekutuan).
Bahkan, katanya, dalam sesebuah kerajaan boleh terdiri daripada parti-parti yang bervariasi ideologi sementelah lagi kerajaan yang dibentuk di peringkat yang berbeza.
Beliau berkata, sejarah juga menunjukkan bahawa sejak sekian lama Terengganu diperintah oleh BN di peringkat negeri dan Persekutuan sebelum ini, namun negeri ini masih terkebelakang pada aspek sosioekonomi dan pembangunan berbanding negeri-negeri lain.
“Hakikat ini bukan sahaja menunjukkan bahawa tidak menjadi syarat kerajaan sama parti di peringkat negeri dan Persekutuan untuk Terengganu menjadi maju atau mundur, bahkan juga mengesahkan bahawa sekiranya berterusan membiarkan Umno/BN menguasai kedua-dua kerajaan, Terengganu ada terus kekal terkebelakang,” katanya yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri.
Ujarnya lagi, harus diketahui juga bahawa sejak 2018 sehingga 2022, kerajaan negeri menerima dana atau pemberian khas daripada Persekutuan berjumlah lebih RM6.3 bilion atau secara purata RM1.2 bilion setahun.
Tambahnya, pemberian yang sudah menjadi amalan sejak lebih 20 tahun itu sepatutnya diteruskan dan ditambah baik.
Tetapi, ujarnya PMX menerusi Ucapan Belanjawan 2023 dan sikapnya sehingga kini secara terang-terangan cuba untuk mengelak daripada kerajaan negeri menerima sepenuhnya dana itu.
“Hasil daripada petroleum ini yang sepatutnya digazetkan sebagai royalti juga bertukar status kepada ‘Wang Ehsan’ sahaja adalah akibat tindakan Umno Terengganu sendiri sehingga menyebabkan hasil untuk Terengganu ini tidak lagi diikat dengan aspek perundangan yang lebih kukuh.
“Sekali lagi, seruan supaya pengundi memilih parti yang sama membentuk Kerajaan Persekutuan yang digerakkan oleh Umno/PH ini hanya melondehkan lagi niat jahat sendiri untuk tidak menjunjung prinsip federalisme dan berlaku adil kepada semua,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/8/2023




















