PN tidak berdepan laluan sukar pertahan DUN Tokai 

Mohd Hayati (kiri) bersama-sama penduduk di Tokai, Pendang, Kedah.
- Advertisement -

PENDANG: PERIKATAN NASIONAL (PN) tidak menghadapi masalah bagi mengekalkan kemenangan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tokai jika mengambil kira kerusi berkenaan diwakili PAS sejak lima penggal lepas.

Calon PN DUN berkenaan, Dato’ Dr Mohd Hayati Othman berkata, majoriti undi pada setiap penggal pilihan raya meningkat di kerusi DUN terbabit.  

- Advertisement -

“Ini membuktikan sokongan pengundi kepada calon PAS dan PN semakin meningkat.PN bukan sahaja mendapat sokongan padu ahli PAS serta Bersatu, sebaliknya ramai ahli Umno turut memberi pengakuan akan menyokong PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

“Lagi pun sehingga sekarang sudah ramai yang keluar Umno. Kebanyakan mereka kecewa dengan janji dan sumpah Presiden Umno melanggar ‘no Anwar, no DAP’,”  katanya Ketika ditemui di sini.

Mohd Hayati dikenali ramai bukan sahaja di DUN Tokai dan Parlimen Pendang, sebaliknya rakyat Kedah mengenali beliau sebagai anggota Exco kerajaan negeri. 

Pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Pendang setelah menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 2002, berikutan kematian bekas Presiden PAS almarhum Dato’ Fadzil Mohd Noor. 

Beliau juga berkata, setakat ini belum kelihatan  lagi kelibat menteri-menteri datang membantu calon Pakatan Harapan (PH) di DUN Tokai. 

“Namun, sokongan rakyat kepada PH dilihat kurang menyerlah sekarang selepas parti itu menjalin kerjasama dengan Umno,” katanya.

Beliau juga berkata, kegagalan kerajaan PH-BN menerajui negara sejak November lepas menyebabkan rakyat dan ahli-ahli Umno semakin muak.

“Harga barang semakin mahal sehingga menyebabkan kehidupan rakyat di negara ini semakin tertekan,” ujarnya lagi. 

Mengulas mengenao perancangannya untuk rakyat di DUN Tokai, kata beliau, usaha menyambung beberapa pembangunan yang dilaksanakan sebelum ini akan diteruskan, termasuklah jalan-jalan yang menjadi laluan penduduk kampung (pesawah) yang perlu ditambah baik semula.  

“Dahulu kita masukkan pembangunan jalan-jalan di kawasan bendang (jalan MADA) menggunakan peruntukan MARRIS atas kebenaran Kementerian Kewangan,” jelasnya.

Beliau juga berkata, antara usaha yang diberi perhatian penggal lalu termasuk membaiki rumah-rumah penduduk miskin. 

“Lebih 200 rumah penduduk miskin dibaiki dalam tempoh tiga tahun PN menerajui Kedah. Sekiranya PN masih diberi mandat menerajui negeri, saya akan cuba mengusahakan agar lebih banyak rumah penduduk miskin diperbaiki,” katanya.

PRN 2023 meyaksikan Dr Mohd Hayati dicabar Zainal Abidin Saad (PH), dan terdahulu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14),  DUN Tokai dimenangi calon PAS dengan majoriti 5,808 undi. – HARAKAHDAILY 4/8/2023

- Advertisement -