
DUNGUN: Ustaz Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli memberi fokus untuk menunaikan hasrat anak muda yang berada dalam Dun Rantau Abang sekiranya dipilih pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Menurutnya, bekas Adun Rantau Abang, Cikgu Alias Harun telah meletakkan Dun itu satu level yang sangat tinggi padanya.
“Kadang-kadang saya rasa macam tak mampu tapi oleh kerana ini satu amanah yang diberikan oleh pimpinan parti dan amanah ini juga datang daripada Allah SWT, maka saya akan usahakanlah selepas daripada ini bersama team untuk kita letakkan visi dan misi di Rantau Abang.
“Dalam masa sama kita teruskan kejayaan yang dibuat oleh Cikgu Alias, kemudian kita akan tambah lagi dengan agenda-agenda yang lain.
“Fokus kita juga salah satunya anak muda kita nak tunaikan hasrat anak muda yang berada dalam Dun Rantau Abang,” ujarnya yang juga Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu kepada Harakahdaily.
Baginya, menjadi calon sebenarnya satu amanah yang sangat berat kerana perkara itu langsung tidak ada dalam fikirannya.
“Walaupun sebelum ini pernah orang bercakap kata ‘ustaz ini bakal YB, bakal calon’ tapi bila orang bergurau gitu, kita tidak simpan benda ini, buat tak tahu sahaja.
“Tiba-tiba takdir Allah last minit jadi calon, orang lain pengundi atau ahli PAS sendiri mungkin fikir tentang menang kalah tapi pada saya di posisi sebagai calon sekarang ini, saya sudah fikir amanah yang sangat besar yang dipertanggungjawabkan dan amanah ini bakal dipersoalkan oleh Allah SWT di akhirat,” katanya lagi.
Sehubungan itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada kepimpinan PAS negeri kerana memberi peluang kepada wakil Dewan Pemuda PAS negeri untuk terus diisi sebagai salah seorang calon anak muda pada PRN kali ini.
“Terima kasih kepada badan perhubungan negeri dan terima kasih kepada Cikgu Alias Harun kerana sanggup untuk memberi laluan kepada anak muda, saya jadi calon ini dengan tiket pemuda.
“Terima kasih kerana sudi memberi kepercayaan kepada orang muda ini sebagai generasi pelapis pimpinan akan datang,” tambahnya.
Beliau yang pernah menerima Anugerah Belia Maal Hijrah peringkat daerah juga menggesa seluruh jentera sama ada pemuda, muslimat dan lain supaya meneruskan gerak kerja untuk mempertahankan kemenangan di Dun dan negeri.
“Insya-Allah kita sama-sama bekerja, istiqamah untuk memenangkan PAS di negeri Terengganu kerana ini salah satu gerak kerja yang mendaulatkan agama Allah SWT di atas muka bumi ini
“Kepada seluruh pengundi terutamanya anak-anak muda dan perantau, pada 12 Ogos ini saya merayu semua dapat keluar mengundi dan pangkah parti PAS dan insya-Allah akan menjadi kerajaan negeri Terengganu insya-Allah.
“Setakat ini, alhamdulillah rakyat Dun Rantau Abang ini, mereka dapat menerima dalam keadaan baik dan semua bagi sokongan dan saya berharap akan terus mendapat sokongan sehingga 12 Ogos ini,” ujarnya yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Dungun.
Pada PRN ini, beliau berdepan dengan calon BN, Mohd Asri Mohamad di Dun Rantau Abang yang mempunyai 33,394 pengundi.
Dun Rantau dimenangi oleh Cikgu Alias pada PRU13 dan mempertahankan kemenangan pada PRU14 lalu dengan majoriti 4,452 undi menewaskan calon BN dan PKR. – HARAKAHDAILY 4/8/2023





















