
PADANG TERAP: Penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pedu, Mohd Radzi Md Amin bakal mempertahankan kerusinya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos nanti.
Mohd Radzi atau lebih mesra disapa sebagai Paksu Di, bakal berdepan dengan calon Barisan Nasional (BN), Dato’ Seri Mahdzir Khalid yang lebih mesra dengan panggilan Tok Det.
Hari keenam kempen berjalan lancar seperti biasa kerana aktiviti demikian telah dilakukan Paksu Di sejak menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) selepas menang pada 2018 lepas.
“Kempen seperti biasa, waktu subuh kita akan pergi solat subuh di masjid dalam kawasan kita kemudian bertanya khabar ahli jemaah yang hadir.
“Selepas itu, saya akan bersarapan di gerai berhampiran masjid di samping dapat mendengar luahan dan masalah orang kampung,” katanya yang memulakan kempen sejurus selepas pengumuman dibuat pada Hari Penamaan Calon 29 Julai lalu.

Menurut beliau lagi, tempoh berkempen selama dua minggu itu digunakan sehabis baik dengan aktiviti utama iaitu ziarah penduduk sekitar di samping pelbagai aktiviti lagi.
“Sehingga hari ini, kesemua 14 Unit Daerah Mengundi (UDM) telah beliau lawati dan alhamdulillah penerimaan masyarakat sangat baik.
“Insya-Allah kita mempunyai peluang yang cerah untuk mempertahankan kerusi DUN Pedu,” katanya.
Pedu mempunyai 14 UDM antaranya Kuala Tekai, Kampung Musa, Pedu,Tong Pelu, Kampung Mesjid, Belukar Luas dan Kubang Bemban. – HARAKAHDAILY 3/8/2023




















