
HONG KONG: Pengawal selia ruang siber China mengemukakan cadangan supaya tempoh maksimum kanak-kanak bawah umur 18 tahun menggunakan telefon pintar hanya selama dua jam sehari.
Cadangan ini menyebabkan saham syarikat teknologi di China jatuh.
Pentadbiran Ruang Siber China (CAC) meminta penyedia peranti pintar memperkenalkan program mod yang akan menghalang pengguna bawah 18 tahun daripada mengakses internet pada peranti mudah alih mulai 10 malam hingga 6 pagi.
Selain itu, CAC mahu penyedia menetapkan had masa mengikut pembaharuan yang dicadangkan.
Pengguna berumur antara 16 hingga 18 akan dibenarkan paling lama dua jam sehari, kanak-kanak berumur lapan hingga 16 hanya sejam, manakala kanak-kanak bawah lapan tahun dibenarkan hanya lapan minit.
Namun pelabur tidak gembira dengan cadangan itu. Saham kebanyakan firma teknologi China jatuh pada dagangan petang di Hong Kong selepas CAC menerbitkan draf garis panduan yang dikatakan terbuka kepada maklum balas orang ramai sehingga 2 September.
Xia Hailong, seorang peguam di firma guaman Shanghai Shenlun berkata, peraturan itu akan menyusahkan syarikat internet.
“Banyak usaha dan kos tambahan diperlukan untuk melaksanakan peraturan baharu itu dengan betul,” katanya.
“Risiko ketidakpatuhan juga akan sangat tinggi. Jadi saya percaya bahawa banyak syarikat internet mungkin mempertimbangkan secara langsung melarang kanak-kanak bawah umur daripada menggunakan perkhidmatan mereka,” katanya.
Pihak berkuasa sejak beberapa tahun kebelakangan ini semakin bimbang berhubung kadar rabun dan ketagihan internet dalam kalangan golongan muda.
Pada tahun 2021, kerajaan mengenakan perintah berkurung untuk pemain permainan video bawah umur 18 tahun. Ini memberi tamparan hebat kepada gergasi permainan seperti Tencent.
Platform perkongsian video seperti Bilibili, Kuaishou dan ByteDance juga menawarkan `mod remaja’ sejak 2019 yang menyekat akses pengguna kepada kandungan dan tempoh penggunaan.
TikTok ByteDance Douyin pula menghalang remaja menggunakan aplikasi berkenaan melebihi 40 minit.
Peraturan yang dicadangkan itu dibuat selepas Beijing memberi isyarat bahawa tindakan keras kawal selia selama bertahun-tahun terhadap industri teknologi telah berakhir. Pihak berkuasa berkata, mereka akan melihat untuk menyokong pembangunan gergasi teknologi. – REUTERS











