KRC: MB jawab isu jalan raya 4 lorong dan bekalan elektrik

- Advertisement -

PADANG TERAP: Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor membalas pengakuan dan dakwaan berkenaan Kedah Rubber City (KRC) yang dibuat oleh bekas Menteri Besar, Dato’ Seri Diraja Mahdzir Khalid.

Menurut Sanusi, permintaan mengadakan jalan empat lorong daripada Pokok Sena ke KRC yang didakwa telah dimohon oleh Mahdzir itu sebenarnya telah diminta beliau kepada Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini.

Begitu juga dijawabnya berkenaan dakwaan KRC tidak siap kerana elektrik tidak masuk disebabkan kerajaan negeri lemah tidak buat kerja dan pengambilan tanah yang lambat dilakukan di bawah pentadbiran semasa.

“Dato’ Seri Mahdzir Khalid kawan saya ni Pengerusi TNB (sebelum ini). Mari pejabat, saya kata berapa lama nak ambil masa untuk masukkan bekalan elektrik ke KRC? Dia terjawab betul. Dia kata 5 tahun. 

“Proses nak bawa nuh nak pasang kabel overhead itu, lima tahun. (Saya tanya) Pasal apa sebelum ni tak pasang? Dia kata tak ada permohonan,” imbasnya semasa Ceramah Perdana Gelombang Perikatan Nasional N.08 Pedu di Pekan Naka, di sini semalam.

Sedangkan kata Sanusi, kerajaan sebelum ini yang tidak membuat permohonan tersebut atas alasan terlepas pandang, tetapi beliau pula dituduh menyebabkan kelewatan pembangunan KRC itu.

Jelas Sanusi lagi, proses pengambilan tanah perlu mengikut proses Kanun Tanah Negara dan diwartakan di mana ia telah dilakukan dengan cepat hinggakan urusan dengan pihak TNB juga dapat disegerakan.

Akhirnya kata beliau, daripada 5 tahun yang dijangkakan untuk kerja-kerja menyiapkan infrastruktur elektrik berkaitan, cuma memerlukan 2 tahun setengah sahaja bagi menyiapkan keseluruhannya. – HARAKAHDAILY 2/8/2023

- Advertisement -

- Advertisement -