Giliran Mane pula sertai Ronaldo di Al-Nassr

- Advertisement -

Penyerang sensasi Senegal, Sadio Mane menyertai kelab gergasi Arab Saudi, Al-Nassr setelah hanya setahun bersama Bayern Munich.

Berdasarkan pengumuman yang dibuat Al-Nassr menerusi hantaran X atau sebelum ini dikenali sebagai Twitter, Mane dilaporkan menandatangani kontrak selama empat tahun.

- Advertisement -

Jumlah yuran perpindahan rasmi tidak didedahkan, namun media melaporkan kelab Arab Saudi itu membayar kira-kira 40 juta Euro bagi mendapatkan pemain 31 tahun berkenaan yang masih mempunyai baki kontrak selama dua tahun bersama Bayern.

Mane melengkapkan perpindahan ke Bayern Munich tahun lalu, dengan harapan yang tinggi susulan aksi memberangsangkan bersama Liverpool selepas menjaringkan 120 gol dalam 269 penampilan.

Dia juga menjulang beberapa trofi prestij seperti Piala Liga Juara-Juara, Piala Liga Perdana Inggeris, Piala FA, Piala Carabao serta Piala Dunia Kelab.

Meskipun menjadi taruhan utama dalam barisan kelab dari Merseyside itu sebelum ini, Mane dilihat gagal mengulangi kecemerlangan bersama Bayern. Lebih teruk lagi berlaku insiden pergaduhan bersama rakan sepasukan, Leroy Sane apabila dia menumbuk pemain sayap berasal dari Jerman itu sebelum didenda dan digantung.

Pemenang dua kali Anugerah Pemain Terbaik Afrika itu secara purata menjaringkan 20 gol semusim ketika di Liverpool. Namun di Bayern, dia hanya berjaya menjaringkan 12 gol.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Sadio Mane atas sumbangannya sepanjang musim lalu,” Kata Ketua Pegawai Eksekutif Bayern Munich, Jan-Christian Dreesen, menerusi laman web rasmi kelab.

“Sudah tentu tahun ini adalah tahun yang sukar bagi dia (Mane), dengan kecederaan sejurus sebelum Piala Dunia, dia terlepas aksi bersama Senegal walaupun menjadi tonggak bagi negaranya yang menjuarai Piala Afrika dan layak ke Piala Dunia sebelum ini.

“Disebabkan kurang peluang bermain, dia (Mane) tidak dapat beraksi untuk pasukan seperti kami harapkan. Oleh itu, kami telah mencapai persetujuan bersama untuk melepaskannya bagi meneruskan karier di kelab baharu.

Mane menyertai Al Nassr yang giat memperkuatkan pasukan, termasuk perpindahan penyerang terbaik dunia, Cristiano Ronaldo pada musim lalu.

Kelab yang dinobat sebagai naib juara liga musim lalu, turut menandatangani pemain tengah, Marcelo Brozovic dari Inter Milan, Seko Fofana dari Lens dan pemain bek kiri dari Manchester United, Alex Telles sebagai persediaan menghadapi musim ini.

Sementara itu, Al-Nassr dilaporkan dihalang mendaftar pemain baharu akibat tunggakan hutang dan FIFA mengarahkan kelab itu membayar sejumlah 460,000 Euro berhubung perpindahan pemain Nigeria, Ahmed Musa dari Leicester City. – REUTERS

- Advertisement -