
KUALA TERENGGANU: PAS Terengganu mengikuti rapat perjalanan kempen Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15.
Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Dato’ Dr Alias Razak berkata, pelbagai isu berlaku mencemarkan suasana kempen, antara isu yang hangat diperkatakan adalah mengenai budaya menyuburkan amalan rasuah dan politik wang.
Menurutnya, beberapa hari lepas, Presiden Umno, Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi tanpa segan silu mengumumkan pemberian wang lebih setengah juta ringgit kepada belia Terengganu sambil mengharapkan anak muda mengikut Gelombang Biru (BN) dan Gelombang Merah (PH).
“Perkara ini sangat memalukan, ia mencabul proses demokrasi, namun malangnya Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Dato’ Seri Anwar Ibrahim dengan tegas mempertahankan Zahid Hamidi.
“Lebih mendukacitakan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengatakan pengumuman itu bukan rasuah, tetapi inisiatif kerajaan,” ujarnya pada sidang media di Pejabat Perhubungan PAS negeri, di sini petang ini.
Katanya, perkara tersebut bukan hanya mengundang kecaman rakyat, tetapi turut mengheret bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk bersuara menentang.
Tegasnya, Malaysia akan rosak jika budaya tidak sihat itu terus subur, masyarakat pula akan hilang rasa hormat terhadap agensi kerajaan dan kerajaan jika acuh tidak acuh dalam perkara itu.
Tambahnya, tindakan Zahid yang menyuburkan amalan rasuah dan politik nampaknya menjadi ikutan di peringkat bawah.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus berkata, tersebar di media sosial, calon BN di beberapa DUN di negeri ini menghulurkan wang kepada orang ramai.
Kelakuan itu, ujarnya seolah-olah mereka seperti mahu mencabar pihak berkuasa dan undang-undang negara dan beberapa isu itu menunjukkan betapa tidak madaninya PH-BN dalam berkempen.
“Kami berharap agar tindakan tegas dapat diambil oleh pihak berkuasa,” katanya.
Menurutnya lagi, beberapa isu yang disebutkan itu adalah bukti nyata betapa kerajaan campuran hari ini gagal dan hanya ‘cakap tak serupa bikin’.
Beliau menambah, jika diimbas, sebelum ini mereka jugalah yang lantang bersuara agar isu rasuah dan politik wang dijauhkan dalam kempen pilihan raya.
“Namun kini kita boleh melihat siapa sebenarnya bercakap benar dan siapa hanya pandai bermain kata-kata.
“Kita yakin rakyat Terengganu dan lima negeri lagi menolak budaya politik kuno sebegini dan akan menghukum PH-BN dalam PRU DUN kali ini,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 1/8/2023




















