
PENGHAYATAN Islam yang tinggi di dalam diri rakyat Negeri Kelantan, keluarga dan masyarakat seluruhnya, serta hati yang celik melihat kepada pembaharuan, pembangunan, pentadbiran di Kelantan yang selari dengan kehendak Islam, akan menzahirkan tanggungjawab untuk mempertahankan Kelantan serta menyatakan sokongan sepenuhnya kepada Dato’ Bentara Kanan Ustaz Dato’ Haji Ahmad bin Yakob.
Jauhnya pandangan ulamak
Almarhum Tok Guru Nik Abdul Aziz mempunyai pandangan yang jauh, idea menjadikan Kelantan, Jelapang Makanan Negara. Wawasan inilah yang menjadi buah mulut ramai pihak yang bercakap tentang food security, keterjaminan makanan, terutama selepas negara dilanda pandemik COVID-19. Jauhnya pandangan seorang ulamak.
Persoalan mengenai kemampuan dan kebolehan ulamak memerintah dan mentadbir, kini dipandang tinggi dengan kehebatan buah fikiran dan perubahan-perubahan yang berlaku.
Seorang ulamak besar bernama Syeikh Abdul Samad bin Abdullah, yang dikenali dengan gelaran Tok Pulai Condong, lebih seabad yang lalu, pernah mengarahkan semua orang kampung menebang pokok-pokok besar dan tinggi, sehingga menjadi kehairanan masyarakat, namun kerana hormat kepada ulamak, mereka menebang keseluruhannya.
Tidak lama selepas itu, ribut besar berlaku di Kelantan dan kawasan Machang. Kesan kerosakan minima, tidak berlaku kejadian pokok tumbang menimpa rumah dan tiada kemalangan jiwa berlaku.
Persoalannya adalah, siapakah yang memberitahunya? Sedangkan pada masa itu, kajian cuaca belum tersohor. Bahkan, dia sendiri tidak mengetahuinya. Tetapi, Allah yang menggerakkan hatinya sehingga dia berbuat sedemikian. Kesannya, kampung tersebut terselamat daripada bencana.
Membangun Bersama Islam
Selama 33 tahun kita mentadbir dan memerintah, orang cemburu kepada kita. Sebab kita meletakkan suatu anjakan paradigma. Dari tahun 1990 sehingga ke hari ini, kita telah membuktikan bahawa Islam boleh menjadi dasar kepada Kelantan Darul Naim.
Ulamak boleh mentadbir dengan baik. Bukti yang paling besar dengan kebaikan dasar Islam yang kita bawa selepas 33 tahun, adalah, tiada kes rasuah dalam kalangan pemimpin dan juga pegawai-pegawai tinggi di Kelantan. Ini bukan tempoh yang pendek dan kita boleh kekalkan rekod bersih rasuah. Ini suatu pencapaian yang luar biasa.
Ujian utama bagi sesebuah pemerintahan ialah indeks rasuah. Pemerintahan yang hebat bukan kerana ada pembangunan, kemajuan fizikal, pertumbuhan ekonomi, ‘per capita income’ tetapi yang bersih daripada rasuah. Kita telah membuktikannya dengan dasar Islam dan kepimpinan ulamak bahawa kita boleh mencapai tahap ini.
Maka, kita perlu mempertahankan Kelantan dengan dasar ‘Membangun Bersama Islam‘ untuk kebaikan diri, anak, cucu, keturunan kita dan insya-Allah untuk seluruh negara pada masa yang akan datang.
Takrif pembangunan
Berkaitan masalah pembangunan, ada yang kata bahawa Kelantan tidak maju, ketinggalan dan tiada pembangunan. Jawapannya adalah, apa maksud pembangunan? Takrifnya harus diperjelaskan terlebih dahulu.
Kalau dikatakan pembangunan itu adalah hospital, sekolah dan balai bomba, jadi soalannya mudah, adakah semua itu tiada di Kelantan?
Ada pula yang jawab bahawa semua itu dilaksanakan oleh pusat. Ya, memang benar sebab itu adalah tugasnya. Sebagaimana seorang isteri yang tugasnya melahirkan anak. Mana mungkin seorang suami boleh berbuat demikian. Jadi, pembangunan fizikal adalah di bawah tanggungjawab pusat. Kelantan sentiasa memberikan kerjasama yang terbaik.
Sebenarnya perbezaan tidak menjadi suatu masalah. Sebagai contoh, di Amerika Syarikat kebanyakannya tidak serupa. Persekutuan dan negeri yang berlainan.
Dalam Perlembagaan Malaysia, jelas disebutkan bahawa ada bidang kuasa pusat dan bidang kuasa negeri dalam jadual ke-9. Kemudian, ada tanggungjawab pusat kepada negeri. Jadi, pusat tidak boleh membiarkan negeri menjadi mundur dan tiada pembangunan.
Kelantan adalah sebahagian daripada Malaysia. Hasil cukai habis dikutipnya. Hasil minyak pun tidak diberi. Tetapi mengajak kita untuk bergaduh, sambil kaki diikat, tangan diberkas. Kalau nak mengikut peruntukan dalam Perlembagaan, royalti minyak perlu diberikan kepada Kelantan. Oleh itu, pusat mestilah adil dan memberikan peruntukan sepertimana yang sepatutnya.
Antara sebab negeri lain seperti Selangor dan Pulau Pinang menjadi maju adalah kerana kedudukan geografinya yang strategik dan infrastruktur yang mencukupi. Kelantan pula mempunyai kedudukan geografi yang berbeza dan ketinggalan dalam infrastruktur. Kalau tiada pemangkin kepada pembangunan ekonomi, macam mana Kelantan nak maju dan berkembang?
Selangor dan Kelantan pernah diperintah oleh pihak yang sama satu ketika selama 12 tahun. Sepatutnya waktu itu Kelantan membangun dan beberapa perkara telah diselesaikan. Namun tidak berlaku.
Oleh itu, kita mengajak untuk bersama-sama dengan dasar ‘Membangun Bersama Islam‘. Konsep pembangunan dalam Islam berbeza dengan Barat. Pembangunan hari ini diukur dari segi ‘economic growth’, ‘per capita income’ dan yang bersifat kebendaan. Namun, kita tidak pun menilai dari segi kehidupan dan kepuasan dalam masyarakat.
Slogan ini menunjukkan bahawa kita mahu membangun pembangunan fizikal dan ekonomi, pada masa yang sama kita mahu keperluan hidup rakyat mencukupi sehingga tidak perlu meminta sedekah. Keadilan ialah mengambil kekayaan daripada orang kaya dan memberikannya kepada orang miskin sepertimana konsep zakat.
Apabila Nabi menghantar Muaz bin Jabal ke Yaman, Nabi berkata yang bermaksud, beritahu mereka bahawa Allah mewajibkan ke atas mereka sedekah (zakat) yang diambil daripada orang kaya di kalangan mereka, dan diberikan kepada orang faqir di kalangan mereka. Sistem Islam hebat dan lengkap.
Pada zaman Umar Abdul Aziz, tiada orang yang sanggup menerima zakat di Baghdad. Sebab semua cukup keperluan hidup. Sehingga orang kaya terpaksa keluar dari Baghdad dan mencari asnaf untuk diberikan zakat pada ketika itu. Apa yang ingin ditekankan di sini ialah hebatnya Islam apabila ia berjalan.
Masa depan kukuh bumi Kelantan
Baru-baru ini disebut mengenai REE (‘Rare Earth Elements’) atau bahan-bahan nadir bumi yang bernilai RM125 bilion di dalam bumi Kelantan.
Kalau ‘congak’ mudahnya, belanja Kelantan sebanyak RM1 bilion setahun, jadi, dengan REE sahaja, kita ada jaminan selama 125 tahun. Itu belum termasuk lagi sumber lain seperti gas, minyak dan lain-lain. Beberapa orang hebat respon terhadap ucapan saya baru-baru ini, antaranya daripada Malaysian Institute of Economic Research (MIER) dan professor ekonomi daripada universiti.
Kita menghormati pandangan yang diberikan dan mengucapkan terima kasih kepada respon tersebut. Ada dua artikel yang respon khusus kepada ucapan saya yang menyebut mengenai REE.
Maka, kita mempunyai masa depan yang cerah. Oleh sebab itu, kita perlu menyusun dengan baik dan mempunyai dasar yang kukuh dan pelaksanaan yang baik. Dalam usaha kita melonjak ke hadapan, pada kali ini, kita membuat perubahan. Bukan kerana yang sudah ada tidak bagus, mereka telah memberikan khidmat yang baik dan rakyat sayang kepadanya, tetapi sebagai persiapan untuk masa depan.
Ini perubahan besar dalam sejarah iaitu sebanyak 51.1 peratus muka baru, yang terdiri daripada pelbagai latar belakang pendidikan termasuk OKU. Inilah keprihatinan Kelantan. Ada kebolehan dan ilmu, layak dan berharap semoga berjaya membawa suara dalam dewan.
Ini perancangan jangka masa panjang kita. Sebab kita akan menghadapi cabaran yang lebih besar pada masa hadapan. Kalau kita tidak merancang dengan baik, rugilah segala hasil bumi yang Allah telah sediakan untuk kita.
Kelantan ialah bumi bertuah atau ‘The Bless Country’. Negeri yang diberkati dan dirahmati disebabkan oleh dasar agama. Sumber ini telah Dia sediakan berjuta-juta tahun dahulu. Walaupun ada yang menyekat, tidak mengapa sebab kalau kita pandai menggunakan rezeki ini, insya-Allah kita akan memintas negara-negara lain dan lebih maju daripada mereka. Tetapi kita kena ada perancangan dan pasukan yang hebat. Kita berharap dengan pasukan yang ada, kita boleh mentadbir dengan baik pada masa akan datang.
Kehebatan orang Kelantan
Pada 5 tahun lepas, Kelantan telah memperkenalkan tawaran yang merangkumi 14 perkara. Selepas itu, kajian kita mendapati bahawa pencapaian telah melebihi 90 peratus. Pada kali ini, kita mempunyai 18 tawaran yang merangkumi semua aspek seperti pendidikan, sosio ekonomi, wanita, belia, OKU dan sebagainya. Dan ada 96 program yang ditawarkan kepada rakyat untuk dilaksanakan pada masa 5 tahun akan datang.
Ia akan melonjakkan lagi dasar kebajikan yang diperkenalkan dan kita boleh mencapai slogan ‘Kelantan Maju, Rakyat Sejahtera’. Tawaran tersebut merangkumi antaranya yang paling penting sekali ialah sosioekonomi. Sebab antara isu yang paling besar di Kelantan ialah masalah peluang pekerjaan.
Ahli-ahli ekonomi pun ada menyebut bahawa Kelantan kena fokus kepada sumber manusia. Melahirkan pekerja-pekerja yang mahir. Kita nak memberikan peluang pekerjaan dengan memperkenalkan bandar-bandar baru seperti Bandar Madinah As-Salam dan bandar Dato’ Bentara di Gua Musang. Melalui pembangunan bandar-bandar baru ini, insya-Allah peluang pekerjaan akan ada.
Keduanya, kita fokus terhadap perumahan seperti Bandar Baru Ciku, Bandar Halaqat dan Bandar Dato’ Bentara di Gua Musang. Ia adalah untuk memenuhi keperluan perumahan kepada generasi kedua daripada FELDA, KESEDAR dan FELCRA di Gua Musang. Jadi, tidak bangkit lagi isu tiada rumah, menumpang rumah dan empat atau lima keluarga tinggal dalam sebuah rumah.
Soal peluang pekerjaan, orang Kelantan sudah tidak perlu lagi untuk keluar negeri. Ada yang kata orang Kelantan ini mundur, sebab itu keluar merata-rata. Sebenarnya, orang Kelantan keluar merata-rata bukan kerana tiada kerja di Kelantan. Kalau kita membaca sejarah Kelantan, orang Kelantan ini sifatnya ‘adventurous’.
Sebagai contoh, orang di Kampung Laut pergi ke Sarawak sejak tahun 50-an lagi berniaga kain atau sambal daging, kemudian berkahwin dengan orang di Sarawak sehingga membina keluarga di sana. Keturunannya menjadi orang besar di Sarawak iaitu Tun Datuk Patinggi Haji Abdul Rahman bin Ya’kub. Beliau pernah bertemu keluarga di sini sewaktu berkunjung ke Kelantan.
Contoh lain di Perak, Tan Sri Dato’ Seri Di Raja Mohammad Tajol Rosli bin Tan Sri Mohamed Ghazali berketurunan Raja Jembal. Keluarganya dahulu berpindah. Ayahnya menjadi pembesar di Perak. Hebatnya orang Kelantan. Tiada lagi orang dari negeri lain menjadi ketua negeri di Kelantan. Oleh sebab itu, ke mana sahaja kita pergi, orang Kelantan ada di mana-mana.
Orang Kelantan boleh memasuki universiti hasil Tan Sri Dato’ Sri Paduka Raja Dato’ Mohd Asri bin Muda pernah berjumpa dengan Tun Abdul Razak bin Dato’ Hussein untuk meminta peluang agar anak Kelantan boleh memasuki universiti. Zaman dahulu susah nak masuk universiti melainkan dengan tajaan dan pembiayaan. Maka, Kelantan bersetuju menaja pelajar-pelajar untuk memasuki universiti tidak kira Melayu, Cina atau India.
Tan Sri Dato’ Sri Dr. Ng Yen Yen merupakan anak Kelantan yang boleh memasuki universiti kerana tajaan daripada Kelantan. Inilah ‘strategic thinking’ Kelantan. Sebab merekalah yang akan membuat perubahan. Hebatnya orang Kelantan ibarat tukang rumah. Walaupun tiada pintu, tetapi semua rumah besar dibuatnya belaka.
Kita juga merancang untuk menyediakan bekalan air. Kita mengakui memang kita mempunyai masalah berkenaannya. Tetapi benda besar yang perlu kita fahami ialah sebarang penulisan atau kritikan mengenai air di Kelantan yang telah dibuat seolah-olah tiada air di seluruh negeri. Kalau air keruh di seluruh negeri, macam mana nak membuka restoran atau mengoperasikan hospital? Dan adakah kita semua tidak mandi?
Masalah air bukan sahaja berlaku di Kelantan, malah Selangor, Pahang, Pulau Tioman, Johor dan Pulau Pinang juga alami perkara yang sama. Bukan sebab kita yang memerintah, tapi itulah realitinya. Akta WSIA (Akta Industri Perkhidmatan Air) pernah dibentangkan. Akta itu menubuhkan SPAN (Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara) dan PAAB (Pengurusan Aset Air Berhad).
Tun Dr Lim Keng Yaik memberikan sebab mengapa pusat bertindak sedemikian, antaranya tiada negeri di Malaysia boleh menyelesaikan masalah air dengan sendiri. Semua negeri berhutang dengan pusat dan tidak mampu membayarnya. Oleh sebab itu, pusat membuat keputusan untuk mengambil alih pengurusan air melalui akta tersebut. Sebab air berada di bawah jadual 9 negeri.
Apabila kita menang pada tahun 1990, peruntukan Bekalan Air Kelantan Utara (BAKU) ditarik balik dan dibatalkan serta-merta yang telah diluluskan terdahulu. Ini menyebabkan masalah air tidak dapat diselesaikan selama 10 tahun.
Sehingga Almarhum Tok Guru Nik Abdul Aziz berjumpa dengan Tun Dr Mahathir dan Tun Daim Zainuddin. Akhirnya, Tun Daim bersetuju untuk memberikan sebanyak RM600 juta dengan syarat kontraktor adalah pilihannya. Namun, beberapa masalah berlaku sehingga projek itu terbengkalai. Tempoh masa yang membarah dan memberikan kesan panjang sehingga ke hari ini.
45 kosong insya-Allah
Kelantan menawarkan 18 tawaran dengan 96 program yang merangkumi semua perkara termasuklah pendidikan, sosioekonomi, wanita, anak muda, OKU dan sebagainya. Insya-Allah dengan izin-Nya apabila kita menang, kita akan melaksanakan sebagaimana yang telah kita laksanakan sebelum ini.
Insya-Allah kita yakin dengan apa yang kita tunjukkan selama 33 tahun, Kelantan akan terus kekal bersama dengan kepimpinan ulamak dan kita nak menang 45-0. Semua mesti bekerja, membantu dan memastikan agar kekal menang.
DATO’ MOHD AMAR ABDULLAH
Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Kelantan – HARAKAHDAILY 1/8/2023




















