
JERLUN: Sebaik selesai menunaikan solat Subuh secara berjemaah, rutin harian pada setiap hari disusuli dengan bersarapan bersama penduduk kampung.
Begitulah rutin harian calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Hitam, Azhar Ibrahim atau lebih mesra dipanggil Cikgu Azhar ketika memulakan kempen hari keempat beliau pada hari ini dengan menunaikan solat subuh berjemaah di Masjid At-Taqwa, di sini.
Aktiviti itu sebenarnya sudah menjadi rutin sejak beliau memenangi Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) lalu.
Selepas itu, beliau bersarapan atau dalam dialek Kedah disebut sebagai ‘menyerok’ bersama-sama masyarakat di Kedai Harun, Kampung Jerlun yang menyajikan selera kampung.
Menggunakan peluang yang ada, beliau bertanya khabar masyarakat di situ sambil mendengar luahan mereka.
Kemudian, beliau lalu singgah untuk menziarahi guru tomoi, Abdullah Ahmad di Kampung Hilir Jerlun.
Sejurus selepas itu, beliau menyantuni pula masyarakat di pasar pagi atau lebih dikenali sebagai ‘Nat Ayaq Hitam’ oleh orang tempatan.
Risalah berkaitan perkembangan kerajaan negeri juga diedarkan kepada pengunjung serta kanak-kanak diberikan belon.
Rata-rata pengunjung menyambut mesra apabila disapa oleh Cikgu Azhar kerana mereka sudah pun biasa dengan kehadiran beliau di situ.
Aktiviti sesi pagi diakhiri dengan singgah menikmati makan tengah hari di gerai tepi sungai berdekatan pasar pagi tersebut.




















