
KUALA LUMPUR: #RasuahBusters bersama 23 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bergabung mengecam tindakan parti politik yang bersifat manipulatif dengan menyalurkan sogokan terhadap pengundi dalam tempoh berkempen sempena PIlihan Raya Negeri (PRN) 2023.
Dalam kenyataan medianya, #RasuahBusters menegaskan bahawa hal demikian adalah susulan tindakan berkenaan adalah melanggar peraturan pilihan raya,bahkan menggugat prinsip demokrasi yang dijunjung Malaysia.
“Ahli politik harus bertanggungjawab mematuhi peraturan berkempen serta siasatan yang telus dan terperinci hendaklah dibuat ke atas mana-mana pihak yang menyalahi mana-mana peruntukan yang termaktub di dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 atau mana-mana perundangan di Malaysia,” ujar kenyataan itu, di sini, hari ini.
Kenyataan media #RasuahBusters itu diadakan secara bersama dengan Transparency International Malaysia (TI-M), Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS), Center to Combat Corruption and Cronyism (C4), BERSIH, Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Gabungan Perikatan Gabungan NGO Islam Malaysia (ACCIN), PATRIOT, UNDI 18, Gabungan Bertindak Malaysia (GBM).
Turut serta ialah Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC), Majlis Belia Malaysia (MBM), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Persatuan Tadika Islam Malaysia (PERTIM), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Malaysia Community Care Foundation (MCCF), Philandure, Pertubuhan Permuafakatan Teman Sejati Gombak.
Tidak ketinggalan Koperasi Majlis Ekonomi Halal Selangor Berhad (MEHKOP), Asean Rohingya Center (ARC), Global Humanitarian Initiative, Pertubuhan Aspirasi Wanita Malaysia (ASWA), Pertubuhan Pemuda Gema Malaysia (GEMA) dan Universal Peace of Malaysia (UPF).
Tambah kenyataan itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) harus bebas menjalankan fungsinya tanpa sebarang pengaruh eksekutif demi memastikan keadilan kepada semua pihak.
“Untuk itu, #RasuahBusters dan gabungan dengan 23 NGO mengulangi kenyataan agar reformasi institusi dilaksanakan segera untuk meletakkan SPRM di bawah Parlimen.
“Ahli-ahli politik diseru untuk bersaing dengan sihat, serta tidak meletakkan kepentingan politik dan kemenangan parti sebagai keutamaan dengan menawarkan janji dan laba yang merosakkan kredibiliti kepimpinan mereka,” tegas kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, sebaliknya, setiap parti dan calon harus kekal fokus kepada menyelesaikan masalah sosioekonomi jangka panjang yang terpaksa dihadapi oleh rakyat pada waktu ini.
“Sehubungan itu, rakyat Malaysia diminta agar turun mengundi dan membuat pilihan dengan adil, kritis dan waspada dalam menentukan hala tuju negeri sempena PRN 2023yang berlangsung pada 12 Ogos ini,” katanya. . – HARAKAHDAILY 1/8/2023




















