
JEMPOL: Calon PERIKATAN NASIONAL bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Serting, Ustaz Mohd Fairuz Mohd Isa menggesa seluruh ahli PAS Kawasan Jempol agar bangkit membantu gerak kerja pilihan raya.
Beliau yang juga merupakan Yang Dipertua PAS Kawasan Jempol berkata, tenaga mereka sangat penting dalam usaha merampas kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
“Ini adalah kerahan, saya harap dapat dikerahkan segalanya kerana inilah masa kita untuk menentukan masa depan negara kita, masa depan negeri kita, agar tidak terlepas untuk kali yang seterusnya.
“Pilihan raya ini penting kerana bibit kemenangan itu telah nampak. Dan juga bibit perubahan itu yang kita hendak,” tegasnya.
Tambah beliau, sekiranya petugas-petugas parti leka dan alpa dalam menjalankan tanggungjawab, mungkin peluang besar untuk mencapai kemenangan ini akan terlepas.
Selain itu, Mohd Fairuz juga berharap agar semua petugas PERIKATAN NASIONAL yang terdiri daripada PAS, Bersatu dan Gerakan bergerak dalam satu pasukan tanpa membeza-bezakan siapa yang bertanding.
“Teruskan gerak kerja sehingga berjaya, sehingga kita tahu keputusan pada 12 Ogos ini memihak kepada PERIKATAN NASIONAL.
“Bukan hanya di Jempol, tetapi di seluruh Negeri Sembilan dan juga enam negeri lain yang bertanding,” katanya kepada HarakahDaily, usai program ceramah umum yang berlangsung di perkarangan Bilik Gerakan Perikatan Nasional DUN Serting di Bandar Seri Jempol.
Program Ceramah Umum Pilihan Raya tersebut menampilkan Ahli Parlimen Arau, Dato’ Seri Shahidan Kassim sebagai penceramah utama.
Selain Shahidan turut berucap ialah Ahli Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin; Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzair; Pesuruhjaya PAS Johor, Ustaz Abdullah Hussin; dan Ketua Pemuda PAS Johor, Ustaz Ahmad Nawfal Mahfodz.
Pada PRN 2023, Mohd Fairuz bertanding satu lawan satu di DUN Serting berhadapan dengan calon muka baharu dari Barisan Nasional, Muhamad Zamri Omar. – HARAKAHDAILY 1/8/2023




















