Penyokong Velez serang pemain kelab sendiri

- Advertisement -

Perlawanan perpisahan pemain pertahanan Uruguay, Diego Godin berakhir dengan pasukannya, Velez Sarsfield tewas kepada Huracan yang mencetuskan insiden ganas, Ahad lalu.

Beberapa penyokong kelab Argentina itu sendiri menyerang pemain dengan kejam, termasuk mengacukan senjata api. Kejadian berlaku ketika pasukan itu kembali ke kem latihan di Stadium Villa Olimpica beberapa jam selepas perlawanan.

- Advertisement -

“Kami tiba (di Stadium) untuk mengambil kereta dan pulang. Keadaan ketika itu gelap apabila tiba-tiba sebuah kereta tiba. Mungkin ada lima atau enam orang dalam kereta itu,” kata penyerang Velez Sarsfield, Gianluca Prestianni.

“Mereka memukul saya dua kali di muka sambil mencengkam saya dengan jaket. Saya terlalu takut, manakala rakan sepasukan tidak mahu pulang jika mereka diekori.

“Mereka juga mengancam dengan memaksa pemain keluar dari kereta atau akan menembak pemain dua kali di kaki,'” kata penyerang berusia 17 tahun itu yang menyatakan kejadian itu membuatkannya berfikir semula untuk kekal di kelab itu.

Bekas pertahanan Boca Juniors, Leonardo Jara adalah orang yang menerima ugutan itu. “Mereka menghadang kereta saya dan memaksa keluar dari kereta serta mengugut akan menembak kaki saya,” katanya kepada program radio tempatan.

Penyerang Santiago Castro dan pemain pertahanan, Francisco Ortega turut terlibat dalam insiden itu.

“Atletico Velez kesal dan menolak sekeras-kerasnya situasi menakutkan yang dialami oleh beberapa pemain pasukan utama kami di sekitar Villa Olimpica,” kata kelab itu dalam satu kenyataan.

Media tempatan melaporkan bahawa pemain memutuskan untuk tidak membuat laporan polis, tetapi telah dipanggil oleh polis untuk siasatan jenayah. Jurulatih Sebastian Mendez memaklumkan kepada kelab bahawa pasukan itu tidak akan kembali berlatih sehingga keselamatan terjamin.

Hanya mencatat lima kemenangan dalam 27 perlawanan, Velez menduduki tempat ke-25 daripada 28 selepas tewas pada pusingan terakhir Liga Profesional Argentina. – REUTERS

- Advertisement -