DAP dan PKR cuba rombak, rungkai Perlembagaan

- Advertisement -

KUALA LANGAT: Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam, Melayu dan Bumiputera sebagai tonggak negara sejak sebelum kemerdekaan, tetapi telah cuba dirombak dan dirungkaikan oleh DAP dan PKR. 

Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, kedua-dua parti itu hanya muncul selepas merdeka di mana DAP dengan dasar sekularisme seperti dalam Perlembagaannya, manakala PKR berpendekatan pragmatik.

“Nak rombak, nak rungkaikan ini. Tak peduli agama, nak batalkan Islam dalam Perlembagaan. Kemudian (gagasan DAP) Malaysian Malaysia, nak hapuskan rupa bangsa, tak ada bangsa lagi dah. 

“(DAP) Nak melangkah hapus apa semua, orang Melayu tak ada dah, nama je ada. (Termasuk) banyak perkara lain. PKR pula pragmatik; hanyut, boleh terima belaka. Ini menyebabkan PAS berpisah dengan DAP dan Pakatan Rakyat (PR). 

“Kerana percanggahan ini. Kita (dahulu) kerjasama dalam isu-isu lain. (Tetapi apabila) Timbul masalah dasar, kita berpisah,” tegas beliau pada Ceramah Jelajah Selangor Baharu di Bandar Saujana Putra, di sini kelmarin. 

Terdahulu beliau mengimbau kembali peranan Ahli-ahli Parlimen Islam termasuk daripada PAS dan NGO Islam mendesak Suruhanjaya Reid memasukkan Islam sebagai Agama Persekutuan dalam Perlembagaan. 

Juga cerita beliau, mereka tersebut ketika itu mempertegaskan mengenai perlunya hak keistimewaan Melayu dan Bumiputera termaktub di dalamnya di sebalik Jus Soli yang menerima orang asing sebagai warganegara. 

Timbalan Pengerusi PN itu malah membidas DAP dan PKR kerana hanya mempunyai agenda untuk memerintah semata-mata tanpa mengira realiti ummah mesti memimpin hingga menimbulkan banyak masalah. 

Tuan Guru turut mengimbas tragedi 13 Mei 1969 di mana DAP terlibat membuat kacau dan sikap ekstrem parti itu berterusan apabila mahu Pilihan Raya Kerajaan Tempatan (PBT) diadakan walaupun ia telah dibatalkan sejak tragedi itu. 

Jelasnya, penguasaan bandar yang ditadbir oleh satu kaum mengulangi penyusunan pernah dibuat British itu hanya akan menimbulkan ketegangan kaum dan tidak sepatutnya diulang kembali. 

“Tiba-tiba PKR dengan DAP masuk (agenda Pilihan Raya PBT) dalam manifesto. Saya tanya (Dato’ Seri) Anwar (Ibrahim) mengapa masuk manifesto? Kita PAS tak setuju. Mula-mula tak mengaku, kemudian dia mengaku. Tak mengaku lepas tu mengaku balik.  

“(Sedangkan) ini (mengadakan semula Pilihan Raya PBT ini) satu pendekatan yang salah,” ujar beliau turut mendedahkan bahawa DAP sebenarnya adalah berasal dari parti PAP Singapura. – HARAKAHDAILY 31/7/2023

- Advertisement -
- Advertisement -