TPM beri sogokan rasuah: Menanti tindakan SPRM

- Advertisement -

RAMAI yang menanti apakah tindakan SPRM terhadap ucapan YAB TPM di Terengganu. Ia merupakan ucapan yang sangat jelas memberi sogokan dan bercanggah dengan undang-undang negara.

Tindakan memberi pelbagai geran dan sumbangan kewangan dengan syarat mengundi BN-PH jelas merupakan satu bentuk rasuah menjelang pilihan raya negeri.

Walaupun pelbagai pihak meluahkan kemarahan dan kekecewaan dalam pelbagai diplatform media sosial di atas ucapan tersebut, nampaknya SPRM masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan.

Ia jauh berbeza dengan tindakan segera SPRM yang mengeluarkan kenyataan terhadap tindakan pihak pembangkang.

Sehinggakan menyediakan bas oleh kerajaan Kelantan untuk kemudahan pengundi pulang mengundi tanpa sebarang syarat pun dianggap oleh SPRM sebagai satu kesalahan rasuah.

Hal yang sama turut dirasai rakyat terhadap BERSIH. Suatu masa dahulu BERSIH begitu lantang memperjuangkan sistem pilihanraya yang bersih dan adil namun turut sepi apabila parti pemerintah melakukan kesalahan.

Hal ini berbeza jika hal yang sama dilakukan oleh parti pembangkang, BERSIH akan segera mengeluarkan kenyataan yang begitu lantang membantah tindakan pembangkang.

BERSIH kini dilihat gagal berperanan sebagaimana ia diasaskan diawal penubuhannya kerana dilihat condong menyokong parti pemerintah khususnya PH.

Perjuangan untuk melakukan reformasi sistem pilihan raya Malaysia semakin sepi bilamana beberapa orang tokoh mereka menyertai PH dalam pilihanraya dan tidak lagi dilihat adil terhadap parti pembangkang.

Rakyat kini menuntut tindakan segera sebelum mereka menterjemahkan dalam peti undi pada 12 Ogos nanti.

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Timbalan Presiden PAS – HARAKAHDAILY 30/7/2023

- Advertisement -
- Advertisement -